HADAPAN TAKHTA KASIH KURNIA

E25: Bahagian 3: “O Mama Saya Mahu Kahwin – Melafaz Perjanjian Kekal Dalam Anugerah Tuhan”, Ruth 1:16-17


Listen Later

Shalom!

Dalam pertemuan ini, kita ke bahagian ke-3 topik perkahwinan; menyambung perbualan yang kita sudah mulakan. Tajuk perbualan kita adalah, “O Mama Saya Mahu Kahwin – Melafaz Perjanjian Kekal Dalam Anugerah Tuhan”, Ruth 1:16-17.

Didalam pertemuan kami dengan setiap pasangan yang merancang untuk berkahwin, ada dua pertanyaan asas yang ditanya sebelum perkara-perkara lain dibincangkan.

Pertama, “adakah kamu mendapat restu ibu dan bapa?” Kedua, “dimanakah Tuhan dalam kehidupan anda masing-masing?” Jawapan kepada pertanyaan asas ini akan menjadi panduan perbincangan seterusnya.

Satu perkara yang kita tekan adalah, bahawa perkahwinan itu mulia dan kekal, maka ianya perlu difikir dengan minda yang terbuka. Kita juga membawa setiap pasangan untuk melihat bahawa perkahwinan berada dalam anugerah Tuhan, yang memulai bibit-bibit cinta dalam masing-masing dan seterusnya memimpin mereka kearah pembinaan satu rumahtangga. Itulah antara sebab, kenapa pertanyaan “dimanakah Tuhan dalam kehidupan anda?” ditanya terlebih dahulu. Sekiranya mereka masing-masing dan bersama mengenal mereka mengandalkan Tuhan dan berada dalam anugerah-Nya, maka perjanjian perkahwinan (marriage vow) yang mereka lafaz pada hari perkahwinan menjadi sesuatu yang bermakna.

Dengan itu, bahagian ke-3 perbualan kita diberi tajuk, “O Mama Saya Mahu Kahwin – Melafaz Perjanjian Kekal Dalam Anugerah Tuhan”. Dari Ruth bab 1, saya membawa kita menghayati ikrar yang dilafaz Ruth di ayat 16 dan 17.

Dalam cerita Ruth bab 1, Ruth boleh saja merasa pahit oleh kerana keadaan yang terjadi kepadanya. Bapa mertuanya meninggal. Selepas itu, suaminya meninggal. Dia ditinggal sebagai balu. Sekarang emak mertuanya mahu kembali ke Bethlehem dan tinggalkan dia di Moab. Semua boleh membuatnya marah atau tidak puas hati, tetapi dalam suasana yang paling rendah dalam hidupnya dia mengucap sesuatu yang pada hari ini menjadi ikrar ramai pasangan yang berkahwin. Kata-kata Ruth kepada ibu mertuanya, Noami, “Janganlah mendesak aku meninggalkan atau berpaling daripada mengikut ibu kerana ke mana-mana pun ibu tujui aku akan ikut dan di mana-mana sahaja ibu menumpang di situ jugalah aku menumpang. Kaum ibu itulah kaumku dan Allahmu ialah Allahku; dan di mana-mana sahaja ibu mati, di situ jugalah aku mati dan dikuburkan. Semoga beginilah kiranya yang dilakukan TUHAN kepadaku, malahan lebih lagi, jika apa-apa pun selain maut memisahkan aku dan ibu”, Ruth 1:16-17.

Pengakuan Ruth ini merupakan satu ucapan yang penuh dengan iman yang seterusnya menjadi penentu hidupnya. Ruth seorang Moab, dan dari Ulangan 23:3-4, Nabi Musa memesan Umat Israel begini, “…seorang Moab janganlah masuk Jemaah TUHAN, bahkan keturunannya yang kesepuluh pun tidak boleh masuk Jemaah TUHAN sampai selama-lamanya.” Perintah ini boleh sahaja menjadi sesuatu yang boleh memagar dan mengikat Ruth daripada mempercayai bahawa Allah Noami dapat menerimanya. Hari ini, ianya sesuatu yang memberi keyakinan bagi kita bahawa Tuhan menerima kita oleh karena kasih kurnia-Nya. Di Matius 1:5, kita melihat nama Ruth dalam salasilah Yesus Kristus.

Cerita buku Ruth, dan seterusnya penerimaan Ruth adalah untuk kita, sebagai bukti kasih kurnia Tuhan; dimana Rasul Paulus menulis kepada Jemaat Efesus dalam Efesus 2:8-10, bahawa jalan untuk orang-orang berdosa mendapat keselamatan adalah kerana anugerah.

Daripada Ruth 1:16-17, kita telah rumuskan pengertian kita tentang kekekalan perkahwinan yang diharungi dalam anugerah Tuhan dengan ungkapan, “Melafaz Perjanjian Kekal Dalam Anugerah Tuhan”, Ruth 1:16-17.


Segala pujian, hormat dan kemuliaan kepada Tuhan kita.

Tuhan memberkati.

Lydia.

...more
View all episodesView all episodes
Download on the App Store

HADAPAN TAKHTA KASIH KURNIABy Lydia Usun Ngimat