Pengajian tafsir kali ke-3 ini dimulai dengan ucapan salam kepada Rasulullah ﷺ dan bacaan solawat. Seterusnya, Al-Fadhil Ustaz Haji Muhamad Mustafa menerangkan matlamat yang ingin dicapai dalam pengajian tafsir kali ke-3 ini. Pertamanya, mengenal huruf Al-Quran (28 huruf hijaiyyah yang diulangi sebanyak 323,015 huruf) dan membacanya mengikut ilmu tajwid yang betul. Kedua, mengenal kalimah Al-Quran (gabungan huruf) yang berjumlah 8,000 kalimah dan diulangi menjadi sebanyak 77,439 kalimah. Kalimah Al-Quran boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu isim (kata nama), fe'el (fi'il; kata kerja), haraf (harf; sendi/penyambung nama). Gabungan kalimah Al-Quran dari ketiga-tiga jenis ini memberi makna tertentu kepada ayat atau gabungan kalimah tersebut dan ini dinamakan i'rab (menyatakan), iaitu matlamat ketiga dalam pengajian kali ini. Makna gabungan kalimah juga dinyatakan melalui tanda baris (juga termasuk dalam i'rab) yang ditulis pada gabungan huruf. Ringkasannya, pengajian kali ini akan memberi penekanan kepada bacaan dengan betul, faham makna ayat dengan betul dan asbabun nuzul (sebab turun ayat).