Didapati-Nya dia di suatu negeri, di padang gurun, di tengah-tengah ketandusan dan auman padang belantara. Dikelilingi-Nya dia dan diawasi-Nya, dijaga-Nya sebagai biji mata-Nya. Laksana rajawali menggoyangbangkitkan isi sarangnya, melayang-layang di atas anak-anaknya, mengembangkan sayapnya, menampung seekor, dan mendukungnya di atas kepaknya, demikianlah TUHAN sendiri menuntun dia, dan tidak ada allah asing menyertai dia. (Ulangan 32:10-12)
Alkitab menggambarkan Tuhan sebagai rajawali, yang mengawasi umat-Nya, melindungi mereka dan membimbing mereka di padang gurun dan padang belantara. Dia menjaga mereka dengan hati-hati sebagai "biji mata-Nya", seperti seorang Bapa yang melindungi. Tuhan juga digambarkan sebagai rajawali yang akan melatih anak-anaknya untuk terbang dengan mengusir mereka keluar dari sarang mereka yang selesa. Dia juga akan mengawasi kemajuan mereka dan selalu bersedia mengunakan sayap-sayap-Nya untuk mendukung mereka dengan penuh kasih sayang jika mereka menjadi letih dan lesu, seperti ibu rajawali yang penyayang. Tuhan sendiri melakukan semua ini, tanpa pertolongan dari dewa-dewa asing. Umat Tuhan mengalami perlindungan, penjagaan, bimbingan, keselamatan dan nikmat Tuhan ketika mereka menyembah Dia sahaja dan tidak tunduk kepada dewa-dewa lain!
Walaupun Tuhan tidak memerlukan orang lain untuk menolong-Nya melaksanakan semua ini bagi mereka yang Dia kasihi, Dia telah memutuskan untuk menyerahkan peranan-Nya sebagai ayah pelindung dan ibu yang penyayang kepada kaum bapa dan kaum ibu di dunia ini. Hakikat bahawa kita mempunyai ibu bapa untuk mengawasi kita, melindungi, menjaga, membimbing, menolong, menyokong, mendorong dan memberkati kita, adalah bukti kasih Tuhan kepada kita. Ibu bapa adalah wakil Tuhan dalam kehidupan kita. Mereka adalah wakil yang dihantar oleh Tuhan, diletakkan dalam hidup kita bagi menyampaikan berkat-berkat Tuhan kepada kita. Mereka ditugaskan untuk mengasihi dan menjaga kita, seolah-olah Tuhan sendiri hadir dalam hidup kita. Sebilangan daripada mereka mungkin gagal, tetapi niat asal Tuhan adalah agar kita diberkati melalui mereka, dan menyampaikan berkat Tuhan dari generasi ke generasi. Kita mungkin tidak mempunyai ibu bapa yang sempurna, namum pastinya, kita mempunyai Tuhan yang sempurna dan mengasihi kita dengan kasih yang sempurna!
Tuhan sedang mengawai kamu dengan cemburu. Dia tidak mengalihkan pandangan-Nya daripada kamu. Dia tidak akan membiarkan dan meninggalkan kamu. Sekalipun ayahku dan ibuku meninggalkan aku, namun TUHAN menyambut aku. (Mazmur 27:10)
Berdoa untuk semua yang berada dalam kepimpinan rohani – ibu bapa, Bishop, paderi, pastor, penginjil, ketua kelompok sel, ahli PCC, dll. Agar Tuhan membina mereka supaya melalui mereka, Dia boleh memelihara mereka yang berada di bawah kuasa mereka.
Berdoalah untuk mereka yang memerlukan bimbingan, asuhan dan kasih sayang, agar keperluan mereka dipenuhi bila mereka menemui Tuhan.