Berbahagialah orang yang tidak berjalan menurut nasihat orang fasik, yang tidak berdiri di jalan orang berdosa, dan yang tidak duduk dalam kumpulan pencemooh, tetapi yang kesukaannya ialah Taurat TUHAN, dan yang merenungkan Taurat itu siang dan malam. Ia seperti pohon, yang ditanam di tepi aliran air, yang menghasilkan buahnya pada musimnya, dan yang tidak layu daunnya; apa saja yang diperbuatnya berhasil. (Mazmur 1:1-3)
Pokok-pokok di sebidang tanah yang kosong di sebelah rumah kami ditebang lebih dari seminggu yang lalu. Memandangkan cuaca yang panas ketika ini, daun dari pokok yang tumbang menjadi kering dalam waktu yang singkat. Kami melihat bahawa ia boleh menyebabkan kebakaran kepada rumah kami, maka setiap hari kami menyiram daun-daun tersebut. Tetapi air cepat kering kerana daunnya sudah bertukar menjadi warna coklat. Daun tidak lagi ada kehidupan di dalamnya.
Penuaian membawa kegembiraan kepada para petani, pekebun dan penuai. Agar tanaman dapat menghasilkan buah yang banyak, anggapan asasnya adalah bahawa tanaman mestilah hidup! Pemazmur dalam Mazmur 1 menggambarkan seseorang yang enggan berjalan menurut nasihat orang-orang fasik, tetapi memilih untuk mendekati Tuhan dalam keintiman, siang dan malam merenungkan firman-Nya, seperti pohon yang menghasilkan buah. Hanya roh kita yang dapat berhubung dengan Tuhan 24/7. Hanya dalam keintiman bersama Tuhan kita dapat menerima kehidupan - pembaharuan, pemulihan, hidup, penyembuhan yang datang dari sumber kehidupan. Tetap hiduplah dalam kehidupan Roh, maka kita dapat menghasilkan buah dan menjadi berkat kepada orang lain.
Sama seperti daun dan pokok yang telah dipotong dari kehidupan, mereka tidak dapat mengekalkan kelembapan, apatah lagi berbuah. Sebenarnya, mereka sendiri menjadi bahaya kepada orang lain, kerana mudah terbakar dan membawa kemusnahan yang meluas. Dengan meletakkan air di atasnya tidak akan menyebabkan mereka hidup. Sebenarnya, ia menyebabkan mereka reput dengan lebih cepat, ini juga membahayakan kesihatan.
Melakukan "hal-hal Kristian" atau "hal-hal Gereja" tidak semestinya dapat memastikan kita hidup secara rohani. Sekiranya anda mempunyai anggapan bahawa selagi saya pergi ke gereja, bercakap dalam bahasa Kristian, menghadiri konfrensi-konfrensi, bahkan terlibat dalam pelbagai pelayanan dan maka itu harus menjadikan saya seorang Kristian, anda perlu berfikir lagi. Adakah orang di sekeliling anda diberkati dengan buah dari hidup anda? Adakah mereka melihat hidup anda menghasilkan buah yang memuliakan Bapa Syurgawi anda? Itu harus menjadi ujian litmus sama ada kita mempunyai hubungan bersama Tuhan, sumber hidup kita. Sekiranya hidup kita kering, tanpa kehidupan dalam Roh, kita mungkin menjadi berbahaya kepada orang lain di sekeliling kita, berpotensi untuk menyakitkan dan merosakkan.
Jadikanlah hubungan dengan Tuhan sebagai keutamaan pertama anda jika anda ingin melihat satu tuaian kegembiraan dalam hidup anda!
Bawalah setiap penyakit di badan, jiwa dan roh dalam kehidupan orang-orang yang anda kenali kepada Tuhan. Berdoalah untuk rahmat penyembuhan yang mengalir dari sumber semua kehidupan, iaitu Yesus, untuk datang kepada mereka dan isytiharkan penyembuhan dalam Nama Yesus.
Bawa setiap kehancuran, hidup yang remuk dan perhubungan yang terputus kepada Tuhan. Bersyafaat untuk penyembuhan dan pemulihan mereka, dan untuk kehidupan yang datang dari Yesus.