Pagi ini, kita menghayati Filipi 4:8-9; “Jadi akhirnya, saudara-saudara, semua yang mulia, semua yang adil, semua yang suci, semua yang manis, semua yang sedap didengar, semua yang disebut kebajikan dan patut dipuji, pikirkanlah semuanya itu. Dan apa yang telah kamu pelajari dan apa yang kamu telah dengar dan apa yang telah kamu lihat padaku, lakukanlah itu. Maka Allah sumber damai sejahtera akan menyertai kamu.”
Kita memberi tajuk, “Mempunyai Fikiran Kristus” untuk menyingkap renungan kita, dan menghayati tajuk perbualan dalam konteks Surat Filipi.
Kisah Para Rasul 16:11-40, mencatat peristiwa Rasul Paulus dan Silas dipenjara di Filipi dalam pergerakkan jangkauan mereka. Ketika dipenjara di Filipi mereka memuji Tuhan dan berdoa, dan terjadi gempa bumi yang kuat sehingga pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu lucut. Ketua Penjara seterusnya bertanya kepada Rasul Paulus dan Silas, “Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?” Jawapan mereka adalah, “percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu”, Kisah Para Rasul 16:30-31. Ketua Penjara dan seisi rumahtangganya; dan seorang businesswoman bernama Lydia dan keluarganya, adalah antara keluarga yang membentuk jemaat Filipi pada awalnya.
Jadi, dengan kerinduan dan sukacita yang ada di hatinya, Rasul Paulus menulis agar jemaat Filipi menghidupi iman mereka dengan sukacita dan bersatu hati. “Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu, ...Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus.” Filipi 1:3, 6.
Teras pembelajaran yang Rasul Paulus ingin sampaikan kepada Jemaat Filipi adalah teladan Yesus Kristus sebagai hamba yang melayani dengan rendah hati, Filipi 2:1-11; dan kita ambil Filipi 2:5 untuk merumus perbualan kita, “Mempunyai Fikiran Kristus”. Dan dari 1 Korintus 2:16; “Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang berupaya menasihati-Nya? Namun demikian, kita mempunyai fikiran Kristus!”
Suratnya diakhiri dengan, “saudara-saudara, semua yang mulia, semua yang adil, semua yang suci, semua yang manis, semua yang sedap didengar, semua yang disebut kebajikan dan patut dipuji, pikirkanlah semuanya itu.” Filipi 4:8.
Dari penghayatan kita, Filipi 4:8, adalah dorongan agar kita berdiri di atas firman Tuhan seperti nyanyian Raja Daud dalam Mazmur 19; “Taurat TUHAN sempurna, mengubah jiwa. Peraturan TUHAN pasti, memberi kebijaksanaan kepada orang yang tulus. Ajaran-ajaran TUHAN benar, menggembirakan hati. Perintah TUHAN suci, memberi pengertian. Takut akan TUHAN itu murni, kekal selama-lamanya. Penghakiman TUHAN adil dan benar sepenuhnya. Segalanya berharga daripada emas, ya, daripada emas tulen; dan lebih manis daripada madu, madu daripada sarangnya.” Mazmur 19:7-10. Jadi fikiran kita dibentuk dari Firman Tuhan itu sendiri.
Saudara, Saudari, keluarga besarku yang dikasihi, dalam kasih anugerah Tuhan kita diselamatkan. Dia telah memberikan Alkitab sebagai Firman tertulis-Nya kepada kita. Banyak perkara boleh datang dalam fikiran kita setiap hari. Marilah tetapkan fikiran kita diatas Firman Tuhan seperti dorongan Rasul Paulus kepada Jemaat Filipi dan nyanyian Raja Daud di Mazmur 19 yang kita telah hayati.
[Firman Tuhan dikongsi pada Kebaktian Hari Ahad, 31 May 2020, 10 AM]