Shalom, keluarga besarku yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus.
Dalam pertemuan kita kali ini, saya membawa kita untuk membaca satu peristiwa dalam Perjanjian Lama di 2 Raja-Raja 6:8-23, sebagai contoh untuk kita hayati bersandar tema perbualan kita, “Bukakanlah Mataku Supaya Aku Dapat Melihat”.
Dari 2 Raja-Raja 6:8-23, kita mengetahui beberapa perkara:
(i) Allah dapat membuka mata kita untuk melihat.
Kita tidak dapat melihat tanpa pertolongan TUHAN. TUHAN-lah yang dapat membuka mata kita. 2 Raja-Raja 6:17. Elisha berdoa agar TUHAN membuka mata pembantunya untuk melihat dan “jangan takut, kerana yang menyertai kita lebih ramai daripada yang menyertai mereka”, 2 Raja-Raja 6:16. Rasul Paulus kepada Jemaat Efesus berdoa, “semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih, dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman.” Efesus 1:18-19.
(ii) Kita perlu berdoa meminta agar mata kita dapat melihat.
Kita diajak untuk berdoa dan perlu berdoa agar mata kita dapat melihat perkara-perkara yang Allah mahu kita lihat dan mengerti. Elisha berdoa. Rasul Paulus berdoa. Ramai bersetuju bahawa Mazmur 119 ditulis Raja Daud untuk mendidik anaknya Solomon, dan di ayat 18 kita membaca, “Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.”
(iii) Ketakutan kita lenyap bila mata kita dapat melihat.
Banyak perkara yang menakjubkan dapat kita lihat jika TUHAN membuka mata kita. Ketakutan Pembantu Elisha lenyap bila dia melihat Tentera Surgawi mengelilingi mereka berdua. Bila Tuhan membuka mata kita, maka ketakutan dan kekuatiran kita akan lenyap. Kita sebagai anak-anak Allah akan mengerti perkara-perkara yang Allah sediakan dan lakukan bagi kita. Itulah doa Rasul Paulus untuk Jemaat Efesus, agar Allah menerangkan matahati mereka; dan kepada Jemaat Korintus dia menulis, “Apa yang belum pernah dilihat oleh mata, atau didengar oleh telinga, atau timbul dalam hati manusia, itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya”, 1 Korintus 2:9.
Dalam Surat Rasul Paulus kepada Orang-Orang Percaya di Korintus, Rasul Paulus menulis “Aku telah memutuskan untuk tidak mengetahui apa-apa di antara kamu selain Yesus Kristus, yaitu Dia yang disalibkan” – 1 Korintus 2:2. Seterusnya, dia menulis agar mereka mengenal bahawa Roh Allah dikaruniakan Allah kepada mereka agar mereka dapat melihat, mentafsirkan dan mengerti segala sesuatu dari perspektif Firman Tuhan – “Fikiran Tuhan”, dan dengan yakin mengatakan “kita mempunyai fikiran Kristus!”, 1 Korintus 2:16.
Untuk mencelikkan mata yang buta, itulah yang Rasul Paulus katakan sebagai panggilannya, bahawa dia diutus kepada bangsa-bangsa, “untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah”, Kisah Para Rasul 26:18.
Marilah kita berdoa supaya Allah membuka mata kita untuk melihat kehadiran-Nya bersama kita sentiasa dan mengetahui berkat yang kita miliki sebagai umat yang dipelihara-Nya.
Keluarga besarku yang dikasihi, tetaplah dalam pertemuan doa keluarga anda masing-masing – “marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya”, Ibrani 4:16.
Janji TUHAN adalah, “Apabila mereka berseru kepada-Ku, Aku akan menjawab mereka. Apabila mereka dalam kesusahan, Aku akan menolong mereka. Aku akan menyelamatkan serta menghormati mereka.” Mazmur 91:15, Berita Baik – BM.
Tuhan memberkati kita semua.
[Firman Tuhan dikongsikan untuk Ibadah Keluarga, Rabu 13 Mei 2020, 8.30 PM]