Shalom! Keluarga besarku yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus. Apa khabar semua?
Hari ini saya membawa kita merenung satu pertanyaan yang ada dengan kita selama 3 bulan PKP ini; dan dalam kita memulai satu kehidupan baru. Bilakah pandemik ini berakhir? Bila PKP di mansuhkan? Dan apa yang akan berlaku seterusnya? Saya membawa kita untuk menghayati Firman Tuhan dari Mazmur 126.
Mazmur 126 mengisytiharkan ucapan kesyukuran pemazmur dan umat Tuhan kepada Tuhan kerana pembebasan dari tawanan. Pemazmur mengenang kembali bagaimana Umat Tuhan dibebas dari Babylon, setelah 70 tahun menjalani kehidupan sebagai tawanan. Saya membuat “Pandemik Berakhir Dengan Nyanyian” - Muliakan Tuhan Dalam Anda Memulai Kehidupan Baru, sebagai tajuk perbualan kita.
“TUHAN telah melakukan perbuatan yang hebat-hebat untuk kami, dan kami bersukacita”, Mazmur 126:3.
Bilamana TUHAN membebaskan kita daripada apapun cabaran dan derita yang kita hadapi, kita patut memuliakan Tuhan dengan kembalikan ucapan syukur dan pujian kepada Dia. Yang paling besar dalam hidup kita adalah pembebasan kita dari diperhambakan dosa. Tuhan telah membawa kita keluar dari kegelapan kepada terang-Nya. Itulah perkara pertama yang saya ingin kita hayati dalam Mazmur 126 ini.
(1) Pujilah Tuhan yang telah membebaskan kita dari tawanan, baik secara fizikal dan rohani, Mazmur 126:1. Dalam Lukas 10:20, Tuhan Yesus memberitahu murid-murid-Nya untuk bersukacita kerana nama mereka tercatat di syurga; “janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.” Keselamatan kita adalah perbuatan Tuhan, yang perlu kita syukuri sentiasa.
(2) Ketahuilah bahawa pembebasan kita adalah satu mukjizat yang kelihatan, agar bangsa-bangsa memuliakan Tuhan, Mazmur 126:2-3. Dalam suratnya kepada Jemaat Korintus, Rasul Paulus menerangnya begini, “kami seperti bau kemenyan yang harum, yang dipersembahkan oleh Kristus kepada Allah. Semerbak baunya merebak kepada orang yang sedang diselamatkan dan kepada orang yang sedang menuju kepada kebinasaan.” 2 Korintus 2:15 – BM Berita Baik. Orang akan melihat kebaikan Tuhan dalam kita, tanpa kita war-warkan. Kita memuliakan Tuhan. Milik-Nya sahajalah kemuliaan dan kehormatan.
(3) Dalam memulai hidup baru, doa dan pohon dari Tuhan agar anda dipulih sepenuhnya, jiwa, roh, tubuh, dan kesejahteraan anda; sepertimana sungai-sungai diairkan dan disalirkan semula di padang gurun, Mazmur 126:4. Sebagai orang-orang beriman kita hidup didunia yang pada mulanya, manusia memberontak terhadap Allah dengan mengabaikan nilai-nilai ilahi. Justeru dengan usaha dan keringat kita, kita perlu mengusahakan ladang-ladang kita untuk menghasilkan buah. Kejadian 3:19. Pemazmur di Mazmur 126:4 mengisytihar imannya bahawa Tuhan akan memberkati usaha mereka dalam memulai hidup yang baru.
(4) Mulai hidup baru dengan tabah, rajin, tekun, setia. Mazmur 126:5-6.
Dalam kasih anugerah Tuhan, kita perlu mempercayai Tuhan yang memberi hasil kepada apa yang kita usahakan. Tak perlu malas-malas lagi. “Petani yang telah bertungkus-lumus, pasti dialah yang pertama menikmati hasil tanaman”, 2 Timotius 2:6. Lagi, nasihat Rasul Paulus yang keras diberi kepada jemaat Tesalonika begini, “Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan”, 2 Tesalonika 3:10.
Saudara, Saudari, Keluarga besarku yang dikasihi, apapun yang terjadi, kembalikan kesyukuran kita kepada Tuhan. Muliakan Tuhan Dalam Anda Memulai Kehidupan Baru.
Halellujah! Tuhan memberkati semua.
Lydia.