Nabi ﷺ telah memerintahkan para sahabat untuk memusnahkan pokok-pokok tamar milik Bani Nadhir yang berada di luar tembok yang melindungi perkampungan mereka. Tindakan baginda ini telah dimanipulasi oleh Bani Nadhir dengan menyebarkan kata-kata menyoal apakah jenis nabi memusnahkan pokok-pokok yang tidak bersalah?
Propaganda Bani Nadhir ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada sebahagian sahabat yang turut tertanya-tanya dan meragui tindakan mereka. Lalu Allah swt menegaskan dalam ayat ini, bahawa tidaklah pokok-pokok tamar milik Bani Nadhir itu yang dimusnahkan dan sebahagiannya dikekalkan melainkan semuanya adalah dengan izin Allah Subhanahu wa Taala.
Matlamatnya adalah untuk mencetuskan kehinaan dan kelemahan ke atas golongan pengkhianat ini.
Syeikh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi rahimahullah ketika mengulas tentang ayat ini mengatakan bahawa pertempuran ketenteraan adalah sesuatu yang jelas. Tetapi apabila pertempuran itu membabitkan kepentingan ekonomi dan harta benda, banyak dilema dan konflik yang boleh mengelirukan kita.
Mengambil ibrah akan perkara ini, kita boleh memikirkan tentang strategi boikot yang dilancarkan untuk melemahkan golongan Bani Nadhir moden ini. Tindakan boikot ini turut hadir bersama-sama dengan kesan sampingan yang boleh menimbulkan tanda tanya tentang kewajarannya kerana sebahagian yang menjadi mangsa adalah pihak yang tidak bersalah; seperti pokok-pokok tamar yang tidak bersalah dalam konteks Bani Nadhir ini tadi.
Namun, kita tidak harus lupa bahawa Nabi ﷺ ketika memerintahkan agar pokok-pokok tamar ini dimusnahkan, ia bukanlah dimusnahkan sepenuhnya tetapi secara berfokus. Tumpuan adalah kepada pokok-pokok tamar yang menjadi perlindungan kepada Bani Nadhir dan menjadi kekuatan mereka.
Manakala pokok yang tidak memberikan apa-apa kesan signifikan ditinggalkan walaupun ia adalah milik Bani Nadhir. Tidak sekali-kali pokok tamar ditebang semata-mata kerana ia milik Bani Nadhir.
Pendekatan ini selari dengan tindakan yang dilakukan oleh gerakan Boycott, Divestment, and Sanction (BDS) yang tidak memukul rata semua jenis boikot. Mereka membahagikannya kepada kategori-kategori tertentu merujuk kepada konteks global dan lokal berbeza di antara satu negara dengan satu negara yang lain.
Langkah melemahkan musuh seperti Bani Nadhir moden melalui jalan ekonomi perlu diambil secara serius. Ia perlu dilakukan secara berilmu lagi berstrategi.
Khususnya sebagai umat Islam, kita tidak harus lupa kepada keizinan Allah yang berada di belakangnya. Ada dosa pahala ke atas diri kita semasa memboikot.
Kita tidak melakukannya kerana mengikut hawa nafsu atau saling hina-menghina menyoal mereka yang tidak bersetuju dengan pilihan kita. Walhal strategi boikot dan melemahkan musuh di jalan ekonomi ini mempunyai pelbagai konteks dan strategi yang perlu diraikan.
Tegakkan agama, dan jangan berpecah belah dalam urusan berkenaan (Q42:13).
#ibrahsurahalhashr #bebaspalestin #palestin #gaza #freepalestine