
Sign up to save your podcasts
Or


Semangat urban dan eksperimental sangat jelas dalam prosa, teater dan puisi tulisan Ridhwan Saidi. Dia yang amat menggemari Amir Hamzah turut mengambil baris dari penyair Nusantara itu sebagai judul filem penuh sulungnya, Tiada Cinta Selama Muda. Bila ditanya tentang cara menjadi pencerita yang baik, dia berkata, "Mempunyai telinga yang baik, mungkin? Pencerita yang baik perlu kenal pasti cerita mereka disampaikan dalam bit atau ritma yang tepat. Ia patut mencuit sesuatu dalam diri kita. Poetic mystery." (Eksentrika, 2020). Pengalaman bekerja dengan penulis ini memudahkan pembacaan Nana yang juga, kedengaran sangat misteri, tapi kekal urban.
Bacaan Siti Umaira Roslee untuk "Menjelaskan Rindu" sengaja dibacakan seperti sebuah percakapan yang bersahaja. Sesuai dengan sajaknya, kebersahajaan ini menimbulkan keintiman! Bila ditanya tentang perbezaan menulis prosa dan sajak, penulis ini yang juga menulis beberapa buah kumpulan cerpen dan novel, Syafiq Ghazali, berkata, "Untuk prosa saya tidak begitu terikat dengan pemilihan perkataan dan susunannya. Saya lebih banyak fokus kepada isi/ceritanya. Bagi puisi pula saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih dan menyusun perkataan. Saya juga perlu menyelam ke dasar perasaan yang lebih dalam untuk menghasilkan puisi yang dianggap baik dalam perkiraan saya." (Tukang Puisi: Jari-Jari Aneh, 2020).
Dalam majalah Jambak edisi 4 (DBP, 1995), Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menyebut sedikit tentang sajak ini; "Saya telah pun mencuba menggambarkan orang Inggeris dan Amerika dari sudut pandangan Melayu. Lihat puisi-puisi “Di Oxford Street”, “Ann Arbor”, dan “Michigan”. Jadi, apa yang saya tuliskan dalam puisi saya ialah tentang Malaysia, Indonesia, Amerika syarikat melalui pandangan anak Melayu yang pernah mengembara." Terkesan dengan isi sajak ini, Aizuddin Mohamed Anuar telah memilih untuk mendeklamasikannya. Sajak ini pertama kali disiarkan dalam Dewan Bahasa (Ogos 1973) dan telah dinukilkan oleh Sasterawan Negara keenam ini ketika berada di London pada 9 Mei 1973.
From the publisher's feed