
Sign up to save your podcasts
Or


Imam Birgivi (meninggal dunia 1573) menghuraikan tentang peranan proses berfikir (nutq) mengawal emosi marah (ghadb) dan mahu (shahwah) di dalam karyanya al-Tariqah al-Muhammadiyyah. Ia senada dengan apa yang kita faham melalui sains dan pengetahuan moden semasa bahawa frontal lobe pada otak manusia menggerakkan fungsi eksekutif yang salah satunya adalah 'self talk' pada meredakan ledakan emosi yang terbit dari limbic brain kita. Teringat juga bagaimana Nabi Muhammad ﷺ mengingatkan kita agar melatih diri semasa berpuasa, apabila menerima kecaman atau penghinaan, jangan ikutkan rasa marah, tetapi katakan "sesungguhnya aku berpuasa".
Indah.
Bukan semua masalah yang orang ADHD hadapi dalam kehidupan, adalah berpunca daripada ADHD. Testimoni adalah bukti yang lemah. Justeru cerita peribadi, semasa kita saling berempati, perlu disokong dengan usaha membawa perbincangan ke asas ilmunya. Agar kita tidak terjebak mengaitkan sesuatu dengan sesuatu secara tidak benar. Ia bukan sahaja memudaratkan, malah boleh menyebabkan masyarakat memandang rendah isu ADHD, meneruskan senario menganggap ADHD sebagai alasan, bukan penjelasan.
Di Ireland, saya fikir rutin kumpulan sokongan kami ada sesuatu yang bermanfaat untuk dipertimbangkan. Apabila kita berbincang topik tertentu, setengah jam terakhir perbincangan kita akan membuka ruang untuk individu yang profesional / berpengetahuan mengenai topik berkenaan mengulas. Ia bertujuan memastikan kefahaman kita baik, terhindar daripada dakwaan tidak berasas, pseudosains dan yang seumpama dengannya.
We remember where we were, what we were doing, when we first heard or watched the September 11 tragedy in 2001.
It was also the beginning of my journey being a young imam in Belfast, Northern Ireland.
I was inexperienced, lack of proper training and did not even have sufficient English to communicate.
I did not have the privilege to wait and see but to jump immediately into everything.
When the mosque and members of our community experienced adverse reactions, I had to decide which direction I wanted to take to lead.
We believed it was a test from Allah; it shall pass, do not indulge too much in explaining and being defensive, but remain steadfast and let our attitude speaks about our faith and identity.
"So indeed, with hardship comes ease. indeed, with hardship comes ease." [Q94: 5-6]
8 September 2022, merenung pelajaran-pelajaran berharga berkaitan sejarah panjang Ratu Elizabeth II yang mangkat pada usia 96 tahun, selepas 70 tahun menduduki singgahsana Inggeris.
Kita hidup dalam dunia yang bising.
Bukan hanya bising oleh bunyi kenderaan, tetapi ada pelbagai suara dan bunyi yang membelenggu diri hingga sukar untuk menyendiri, menikmati sunyi, dan di dalam sunyi itu merenung diri, mendengar suara hati dan mengingati Ilahi.
Apatah lagi bagi individu ADHD yang sering mengalami kesukaran fungsi eksekutif pada mengawal persepsi hasil input persekitaran yang melampau.
Suatu ketika semasa menghampiri kota Mekah, Rasulullah ﷺ bersama para sahabat melintasi sebuah gunung bernama Jumdan.
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسِيرُ فِي طَرِيقِ مَكَّةَ فَمَرَّ عَلَى جَبَلٍ يُقَالُ لَهُ: جُمْدَانُ فَقَالَ: «سِيرُوا هَذَا جُمْدَانُ سَبَقَ الْمُفَرِّدُونَ» . قَالُوا: وَمَا الْمُفَرِّدُونَ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: «الذَّاكِرُونَ الله كثيرا وَالذَّاكِرَات» . رَوَاهُ مُسلم
Abu Hurairah meriwayatkan, ketika Rasulullah ﷺ di dalam perjalanan ke Mekah, baginda melalui sebuah gunung bernama Jumdan. Lalu baginda bersabda, "teruskan perjalanan. Ini Jumdan. Telah menanglah al-mufarridun (golongan yang 'menyendiri')!"
Sahabat bertanya, "apakah al-mufarridun itu wahai Rasulullah ﷺ?"
Baginda menjawab, " iaitulah mereka yang mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya, lelaki dan perempuan" [Hadith riwayat Muslim]
Sambil bergaul, berorganisasi, bermasyarakat, berjemaah, jangan ditinggalkan kelebihan menyendiri, mengasingkan jiwa dan fikiran, dan mengisi sunyi itu dengan menguatkan hubungan diri dengan Allah.
Kejahatan menghantar manusia ke penjara.
Tetapi penjara bukan kejahatan.
Penjara boleh menjadi peluang seseorang itu memperbaiki diri.
Semoga dengan keputusan mahkamah hari ini yang mengekalkan sabitan bersalah ke atas bekas Perdana Menteri DS Najib Razak di dalam kes penyelewengan Dana SRC, ia memulihkan maruah negara dan menjadi peringatan bahawa tiada siapa yang boleh berada lebih tinggi daripada undang-undang.
Kita tidak berasa aib semasa negara mengalami kemunduran ekonomi. Tetapi korupsi dan kegagalan menegakkan keadilan untuk membetulkannya, ia amat menyedihkan. Moga keputusan ini juga membuka ruang rahmat Allah yang lebih luas untuk menghadirkan damai di dalam jiwa masyarakat kita.
Berita hari ini bukan berita untuk disorak. Ia berita untuk disyukuri sebagai terjaganya sesuatu yang penting untuk mencegah umat binasa.
Kebimbangan utama saya adalah pada melihat agama dan sentimen perkauman digunakan untuk kepentingan peribadi terutamanya dalam sedekad mutakhir ini. Hingga Islam dan Muslim juga dipandang sinis. Sedangkan agama kita adalah agama yang sangat mengambil berat soal keadilan dan mencegah kezaliman.
Nabi kita Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda:
إنَّما أهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أنَّهُمْ كَانُوا إذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وإذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أقَامُوا عليه الحَدَّ، وايْمُ اللَّهِ لو أنَّ فَاطِمَةَ بنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
"Sesungguhnya umat sebelum kamu telah binasa apabila orang berkedudukan di dalam masyarakat itu mencuri, mereka melepaskannya. Apabila orang yang lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman ke atas. Demi Allah, kalaulah sesungguhnya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku yang akan memotong tangannya!" [HR al-Bukhari : 3475]
Hadith ini semua orang agama sudah belajar mengenainya.
Ingatlah kembali asas ini.
Kekalkan peranan orang agama pada meluruskan agama masyarakat, dan menjernihkan kekeliruan. Jangan sekali-kali terjebak menggunakan agama untuk kepentingan peribadi masing-masing. Ilmu agama bukan ilmu untuk buat duit.
Nabi kita ﷺ pun semasa wafat tidak mewariskan harta.
Baginda hanya mewariskan ilmu agama ini sebagai pedoman kerana sudah tidak ada nabi lain hingga ke akhir zaman.
Semoga Allah jaga kita, dan doakan yang baik-baik untuk semua, amin.
“Angkatlah telefon tu! Ada telefon tak angkat buat apa ada telefon!”
Kegeraman kawan-kawan dengan perangai saya tidak menjawab panggilan telefon sudah pun saya catat semenjak tahun 2007
Semasa itu saya menulis sebuah artikel di saifulislam.com dengan tajuk Telephonophobia.
Setiap kali telefon berdering, saya akan berdebar-debar, mood baik jadi terganggu, apatah lagi nombor yang terpapar tidak saya kenali. Saya tidak akan sekali-kali menawarkan pilihan menelefon atau menjawab panggilan telefon, selagi boleh. Ia adalah kebimbangan tidak rasional, yang sukar saya jelaskan.
Melihat kembali artikel 2007 berkenaan, saya berikan alasan yang telinga saya tidak cukup baik untuk berbual di telefon. Saya akan mengangguk dan mengiyakan apa yang pihak di sebelah sana sebut, walaupun banyak daripada butir percakapan tidak dapat saya tangkap dan fahami. Tak patutlah, kan?
Keduanya, saya tertekan dengan lambakan jemputan ceramah yang andai melalui panggilan telefon, saya perlu berkata ya atau tidak secara spontan. Sedangkan saya beristerikan seorang doktor di wad kecemasan. Sejak dahulu lagi, saya sentiasa memeriksa terlebih dahulu jadual kerja isteri, terutamanya apabila ia membabitkan siapa yang akan jaga anak-anak kami yang masih kecil. Tak seronoklah jika sudah setuju, kemudian perlu berhubung semula untuk membatalkannya.
Selepas menerima diagnosis ADHD dewasa, dan memahami tentang kondisi fikiran dan emosi saya yang 'intense', barulah saya mendapat serba sedikit jawapan. Telephonophobia atau telephone anxiety ini ada di dalam DSM-V di bawah social anxiety. Untuk kondosi berkaitan telephonophobia ini menerima diagnosis, keadaan tersebut mestilah berlaku lebih dari tempoh 6 bulan, dan menampakkan 3 ke 5 daripada simptom yang disenaraikan.
Andai anda ada sahabat yang susah hendak menjawab panggilan telefon, janganlah berkecil hati dengannya. Dia mungkin sahabat anda paling baik hati. Cuma dia akan lebih mudah berkomunikasi, andai anda sudi menukar panggilan telefon kepada mesej bertulis, atau jumpa bersemuka.
Jemput menonton perbincangan mengenainya di Youtube saya.
#adhddewasa #adhdmalaysia #telephonophobia
Saya berbual dengan YB Dr Maszlee Malik mengenai hal ini semasa beliau berkunjung ke Dublin, baru-baru ini. Kebimbangan saya ialah pelajar cemerlang SPM menyembunyikan diagnosis atau mengelak daripada mendapatkan diagnosis isu-isu kesihatan mental seperti ADHD, Autisme dan lain-lain, kerana khuatir hilang kelayakan untuk memohon biasiswa bagi membiayai pengajian.
Walaupun keputusan peperiksaan cemerlang dan layak. Kemudian, di tengah-tengah pengajian, pelajar mula mengalami kesusahan yang tidak dialami semasa di sekolah dahulu. Malang sekali jika ia membawa kepada kemurungan, tekanan jiwa, kemudian berakhir dengan kegagalan menamatkan pengajian, meletakkan pelajar berkenaan di dalam risiko hutang mencecah jutaan ringgit, kes mahkamah, krisis moral, dan sebagainya.
Sedangkan semua itu boleh dielakkan jika penggubal polisi memahami ADHD bukan penyakit. Ia adalah kelainan cara otak seseorang berfungsi. Pemahaman terkini, penyelidikan, teknologi, membolehkan pelbagai strategi digunapakai untuk membantu.
Semasa sekolah, pelajar hidup dengan rutin spesifik terutamanya jika belajar di sekolah berasrama. Ia 'menyembunyikan' masalah individu ADHD hadapi. Apabila ke universiti, rutin itu sudah tiada. Pelajar perlukan kemahiran regulasi kendiri yang tinggi. Ini amat mencabar untuk pelajar neurotipikal, apatah lagi untuk yang mengalami ADHD.
Di negara seperti Ireland, 5% pelajar universiti mempunyai ADHD. Mereka berada di semua fakulti. Boleh menjadi doktor, peguam, jurutera, pakar IT, apa sahaja. Dengan diagnosis ADHD, universiti menyediakan bantuan study buddy, pensyarah mengubah suai pendekatan mengajar, pelajar mempunyai tetapan peperiksaan yang bersesuaian, malah sokongan berkaitan penempatan pelajar. Tidak harus sama sekali pelajar ADHD dinafikan peluang mereka untuk berjaya, atau terpaksa menderita akibat polisi yang mendiskriminasi mereka, sedangkan hal ini boleh dicegah.
Saya tidak pasti apa yang YB Dr Maszlee Malik dapat lakukan, namun itulah yang sempat saya sampaikan dalam pertemuan singkat kami.
Jika ada pelajar Malaysia di Ireland, atau di UK, yang merasakan topik ini ada kena mengena dengan cabaran yang anda hadapi, dapatkan sokongan melalui pihak di universiti anda. Andai ada sesuatu yang boleh saya bantu, jangan segan untuk berhubung. Saya menempuh pengalaman yang perit serta kegagalan demi kegagalan sebagai pelajar kerana tidak kenal ADHD dan hanya menerima diagnosis selepas 15 tahun menempuh kegagalan dalam usaha, dan umur pun sudah lewat 40-an. Saya tidak mahu anak-anak saya menempuh pengalaman itu, dan tidak mahu kalian menempuhnya.
ADHD bukan bodoh. Bukan tidak berdisiplin. Bukan seperti yang pensyarah jerkah di muka saya semasa saya menggeletar mengadap pensyarah suatu ketika dahulu.
Saya sudah menulis 25 buah buku, dan saya yakin pembaca yang membacanya boleh percaya bahawa penulis buku itu tidak bodoh. Ia hanya kelainan, yang boleh diatasi dengan ilmu, dan intervensi yang sesuai.
Saya adalah pakcik tua berpangkat ayah yang ada di Naas di Ireland ini. Jika saya tidak dapat menyelamat atau membetulkan perjalanan sendiri, saya harap ada satu dua perkara kecil yang dapat saya gunakan untuk membantu anda.
"Kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran. Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021." [Utusan Malaysia https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/72-1-lepasan-spm-tidak-sambung-belajar/]
Menyedihkan.
Tetapi tidak mengejutkan.
Sebelum pandemik lagi, hal ini sudah dikaji. Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara ada menukilkan berkaitan disiplin murid:
"... 𝘓𝘢𝘱𝘰𝘳𝘢𝘯 𝘚𝘚𝘋𝘔 𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘵𝘢𝘩𝘶𝘯 2017 𝘮𝘦𝘯𝘶𝘯𝘫𝘶𝘬𝘬𝘢𝘯 1.4% (67,053) 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘱𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳 𝘱𝘰𝘯𝘵𝘦𝘯𝘨 𝘴𝘦𝘬𝘰𝘭𝘢𝘩. 𝘋𝘪 𝘴𝘢𝘮𝘱𝘪𝘯𝘨 𝘪𝘵𝘶, 𝘮𝘦𝘳𝘶𝘫𝘶𝘬 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘗𝘢𝘱𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘉.7, 𝘈𝘨𝘦𝘯𝘴𝘪 𝘈𝘯𝘵𝘪 𝘋𝘢𝘥𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘣𝘢𝘯𝘨𝘴𝘢𝘢𝘯 (𝘈𝘋𝘋𝘒) 𝘮𝘦𝘭𝘢𝘱𝘰𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘪𝘯𝘨𝘬𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘣𝘪𝘭𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘮𝘶𝘳𝘪𝘥 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘥𝘢𝘱𝘢𝘵𝘪 𝘱𝘰𝘴𝘪𝘵𝘪𝘧 𝘶𝘫𝘪𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘥𝘢𝘩 𝘢𝘯𝘵𝘢𝘳𝘢 2013 - 2016..."
Manakala yang berjaya menamatkan pengajian universiti pula:
"... 𝘎𝘳𝘢𝘥𝘶𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘳𝘮𝘢𝘴𝘵𝘢𝘵𝘶𝘵𝘪𝘯 𝘥𝘪 𝘯𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪-𝘯𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘸𝘪𝘭𝘢𝘺𝘢𝘩 𝘛𝘪𝘮𝘶𝘳 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘚𝘢𝘣𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘚𝘢𝘳𝘢𝘸𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘮𝘱𝘶𝘯𝘺𝘢𝘪 𝘬𝘢𝘥𝘢𝘳 𝘣𝘦𝘭𝘶𝘮 𝘣𝘦𝘬𝘦𝘳𝘫𝘢 𝘭𝘦𝘣𝘪𝘩 𝘵𝘪𝘯𝘨𝘨𝘪 𝘣𝘦𝘳𝘣𝘢𝘯𝘥𝘪𝘯𝘨 𝘸𝘪𝘭𝘢𝘺𝘢𝘩 𝘭𝘢𝘪𝘯 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘬𝘢𝘥𝘢𝘳 𝘮𝘦𝘭𝘦𝘣𝘪𝘩𝘪 30%. 𝘗𝘦𝘯𝘦𝘮𝘶𝘢𝘯 𝘪𝘯𝘪 𝘮𝘦𝘳𝘶𝘱𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘴𝘶𝘢𝘵𝘶 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘮𝘣𝘪𝘮𝘣𝘢𝘯𝘨𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘳𝘢𝘯𝘢 𝘯𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘥𝘪 𝘸𝘪𝘭𝘢𝘺𝘢𝘩 𝘪𝘯𝘪 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘢𝘯𝘵𝘢𝘳𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘵𝘦𝘳𝘮𝘪𝘴𝘬𝘪𝘯 𝘥𝘪 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘴𝘪𝘢 𝘣𝘦𝘳𝘣𝘢𝘯𝘥𝘪𝘯𝘨 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘯𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘭𝘢𝘪𝘯. 𝘔𝘢𝘬𝘢 𝘨𝘳𝘢𝘥𝘶𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘸𝘪𝘭𝘢𝘺𝘢𝘩 𝘵𝘦𝘳𝘴𝘦𝘣𝘶𝘵 𝘮𝘦𝘮𝘱𝘶𝘯𝘺𝘢𝘪 𝘵𝘢𝘯𝘨𝘨𝘶𝘯𝘨𝘫𝘢𝘸𝘢𝘣 𝘥𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘦𝘳𝘭𝘶𝘢𝘯 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘭𝘦𝘣𝘪𝘩 𝘣𝘦𝘴𝘢𝘳 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘪𝘯𝘨𝘬𝘢𝘵𝘬𝘢𝘯 𝘵𝘢𝘳𝘢𝘧 𝘩𝘪𝘥𝘶𝘱 𝘬𝘦𝘭𝘶𝘢𝘳𝘨𝘢 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢. 𝘕𝘢𝘮𝘶𝘯 𝘣𝘦𝘨𝘪𝘵𝘶, 𝘳𝘢𝘮𝘢𝘪 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘬𝘢𝘭𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢 𝘮𝘢𝘴𝘪𝘩 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘥𝘢𝘱𝘢𝘵 𝘱𝘦𝘬𝘦𝘳𝘫𝘢𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘳𝘣𝘢𝘯𝘥𝘪𝘯𝘨 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘨𝘳𝘢𝘥𝘶𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘳𝘪 𝘯𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘭𝘢𝘪𝘯. 𝘒𝘦𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬𝘴𝘦𝘪𝘮𝘣𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘪𝘯𝘪 𝘮𝘦𝘮𝘦𝘳𝘭𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘪𝘯𝘵𝘦𝘳𝘷𝘦𝘯𝘴𝘪 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘱𝘦𝘴𝘪𝘧𝘪𝘬 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘳𝘫𝘢𝘴𝘢𝘮𝘢 𝘱𝘦𝘭𝘣𝘢𝘨𝘢𝘪 𝘱𝘪𝘩𝘢𝘬 𝘥𝘢𝘯 𝘢𝘨𝘦𝘯𝘴𝘪 𝘴𝘦𝘭𝘢𝘪𝘯 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘒𝘦𝘮𝘦𝘯𝘵𝘦𝘳𝘪𝘢𝘯 𝘗𝘦𝘯𝘥𝘪𝘥𝘪𝘬𝘢𝘯..."
Itu kisah sebelum pandemik. Kisah yang sudah mula menjelaskan bahawa sistem pendidikan kita sakit. Bukan tidak banyak wang yang dibelanjakan. Bukan tidak ramai guru yang berada di dalam perkhidmatan. Tetapi ada banyak benda yang tidak kena. Saling berkait. Merawatnya tidak boleh dengan menempel sana sedikit sini sedikit. Ia memerlukan 𝘢 𝘸𝘩𝘰𝘭𝘦 𝘴𝘺𝘴𝘵𝘦𝘮 𝘳𝘦𝘧𝘰𝘳𝘮. Pandemik tiba.
Seumpama datangnya tangan gatal bersama kunci, membuka kotak pandora dan memberanakkan satu demi satu masalah.
Apabila pandemik datang, ketidakadilan dan kasta dalam pendidikan mengeluarkan warnanya. Kelemahan infrastruktur serta infostruktur, melumpuhkan pembelajaran, ramai mula terkejut menyedari bahawa ramai murid ke sekolah kelaparan... kemudian viral kisah juruterbang pesawat kehilangan pekerjaan menjadi peniaga makanan, ijazah tidak menatijahkan pekerjaan, doktor tidak menerima pengesahan jawatan selepas bertahun-tahun bertugas, pendidikan tidak lagi berfungsi membantu mobiliti sosial dan mengeluarkan seseorang daripada kemiskinan. Malah pendidikan menjadi punca kemiskinan kerana habis sahaja belajar, kerja belum tentu, hutang sudah bertimbun.
Apa yang jelas, game streamers menjana pendapatan lumayan. Pewdiepie melalui Twitch Streaming beliau menjana pendapatan USD40 juta. Daddy Hood di tanahair pun tidak kurang hebatnya, bersama akademi Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile.
Bagaimana kita mendepani cabaran ini?
Entah apa solusinya.
Baru-baru ini khatib di masjid kami mengulas tentang kesalahan para bapa yang tidak mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama. Kaum bapa juga ditegur kerana tidak meneladani Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dalam menyantuni remaja yang 'asi (melakukan maksiat). Banyak perkara baik yang saya ambil sebagai peringatan dan muhasabah diri.
Namun rumusan akhir khutbah meletakkan salah laku anak remaja bulat-bulat ke atas bapa, memberikan kesan yang berat kepada diri saya.
Anak-anak yang turut sama bersolat Jumaat, menyoal saya usai keluar dari masjid, di manakah 'accountability' seorang anak yang sudah dewasa, akil baligh, menerima pendidikan, untuk menyalahkan ayah atas perbuatan-perbuatan buruk yang dirinya sendiri lakukan.
Renungan khutbah itu terus mengingatkan saya kepada komen seseorang kepada artikel yang ditulis oleh isteri saya pada tahun 2010. Tetamu berkenaan mengatakan bahawa "... ada pendakwah yang sibuk berdakwah tetapi anak sendiri dibiarkan tidak bertudung dan solat pun entah ke mana. Siapa yang hendak percaya dengan pendakwah yang sebegitu," katanya.
Mungkin ada ramai ayah di luar saya yang memang tidak mendidik anak. Tetapi bagaimana jika ayah berusaha keras, namun akhirnya anak itu yang di awalnya elok mengamalkan agama tetapi kemudian memilih untuk melawan ibu bapa serta mengingkari Tuhan, masihkah ia kesalahan si bapa?
Terlupakah kita kepada teladan-teladan yang dipelajari daripada susah payah Nabi Nuh, Nabi Yaaqub, malah Nabi Muhammad sendiri, alayhim al-solat wa al-salam, pada menyampaikan didikan, tetapi tidak dapat memaksa penerimaan iman oleh insan kesayangan mereka di dalam keluarga sendiri? Jika anak-anak Nabi Yaaqub berkelakuan buruk, kita melihatnya, adakah kita masih mengecam Nabi Yaaqub bahawa beliau adalah bapa yang gagal?
Anak kecil boleh dibuat macam-macam ikhtiar. Tetapi kalau anak dewasa, hendak dibuat apa sebab reaksi kita kepada keingkaran mereka? Mungkin kerana itu, Yaaqub hingga hilang penglihatan menanggung keperitan mengenai ujian Allah ke atas baginda mengenai anak-anaknya?
قَالَ إِنَّمَآ أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Yusuf 12:86)
Jauhkan diri daripada kecenderungan semasa pada meletakkan kesalahan kepada ibu bapa secara sewenang-wenangnya. Kecenderungan membelakangkan ibu bapa dan mengutamakan keseronokan sendiri anak-anak remaja, mengingatkan saya kepada buku Rules of Estrangement: Why Adult Children Cut Ties and How to Heal the Conflict oleh Dr Joshua Coleman.
Antara kisah di dalam buku berkenaan menyebut:
Does my parent limit my potential? My happiness? My distinctiveness? What does it say about me to stay in contact? The prevailing sentiment is sometimes: lose your parent, and find yourself. ‘I’ve just become clear that I don’t need the stress,’ said Robert, a 28-year-old graduate of an Ivy League school. ‘Since I’ve been in therapy, I’m learning to surround myself with people who don’t make me feel guilty about not being around as much as they want me to. My mom is really needy and I just don’t need that in my life.’
Berhentilah daripada kecenderungan menilai hal ehwal kekeluargaan seseorang hanya berdasarkan pemerhatian mata kasar kita pada apa yang kelihatan di luar dinding rumah keluarga itu.
Kita semua saling perlukan empati dan doa, bukan menghukum lagi saling rendah merendahkan.
📌
Support my work Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
From the publisher's feed

195 Listeners