
Sign up to save your podcasts
Or


Perbincangan hati ke hati antara ibu bapa dalam mendidik anak remaja semasa semua strategi tidak menjadi.
📌
Support my work
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Tidak mudah untuk mengekalkan diri dalam keadaan ingat kepada Allah. Kita mudah lalai, lupa, dan lupa itu lupa kuasa dua bagi golongan ADHD seperti saya.
Tidak mudah untuk bersyukur kepada Allah. Kita cenderung memberi fokus kepada benda-benda yang kita tidak ada, hingga tidak bersyukur dengan benda yang kita ada, yang sebenarnya sangat banyak. Apatah lagi fikiran negatif yang melampau adalah sebahagian daripada cabaran sebahagian golongan ADHD hadapi.
Tidak mudah juga untuk kita memperelokkan ibadah kepada Allah. Kita lupa, kita lambat, kita terlupa rakaat, macam-macam.
Susahnya ketiga-tiga perkara ini, hingga Nabi ﷺ pun minta tolong dengan Allah.
Kita juga patut minta tolong dengan Allah.
Aturkanlah strategi-strategi yang sesuai agar kita boleh bersolat, berpuasa, dan melakukan ibadah-ibadah yang lain dengan baik.
Saya bersyukur kepada Allah kerana agama saya iaitu agama Islam, adalah agama yang diberikan oleh Pencipta saya, dan saya dapati ia selari lagi meraikan diri saya sebagai manusia ciptaan-Nya. Termasuk juga dalam hal ADHD.
Dalam solat, saya jumpa elemen-elemen yang berkaitan dengan fungsi eksekutif kita:
Semoga solat dan ibadah yang lain mengelokkan fungsi eksekutif saya yang lemah. Dan semoga fungsi eksekutif yang saya pelajari melalui sains, membantu saya menjaga solat.
Moga Allah sayang kita semua kerana tidak tidak pernah berputus asa daripada rahmat-Nya.
Hasrizal
Dahulukala, dunia kita kecil. Perbandingan hanya antara kita dengan adik beradik, rakan sekelas dan kawan-kawan keliling rumah.
Tetapi di zaman internet, kita ada seluruh dunia untuk menjadi cermin perbandingan. Jalan untuk berasa damai dengan apa yang ada semakin susah.
Rawatannya, kita perlu kembali kepada asas SYUKUR, iaitu memberi fokus kepada apa yang kita ada, dan bukannya KUFUR nikmat, yakni terhijab daripada dapat melihat apa yang kita ada lantas sentiasa fokus kepada apa yang tiada.
Bahkan, mungkin kesukaran mencapai kebahagiaan sengaja Allah adakan agar kita kekal ada sebab untuk terus berusaha menuju destinasi abadi yang di situlah kebahagiaan sempurna menanti.
Petikan Halaqah al-Muta'allimin 19 Mei 2022, program dwi bulanan bersama pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary, Malaysia.
📌
Support my work
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Firman Allah SWT:
كَلَّا لَئِن لَّمْ يَنتَهِ لَنَسْفَعًۢا بِٱلنَّاصِيَةِ نَاصِيَةٍۢ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍۢ
Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (daripada perbuatan buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam Neraka),Ubun-ubun yang berdusta, yang bersalah. (al-‘Alaq 96: 15-16)
Secara peribadi, saya dapati ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang memperlihatkan kesukaran ilmuan silam menjelaskan maksudnya.
Di dalam bahasa Arab, perkataan nāṣiyah (نَاصِيَة \ نَوَاصِي) diguna pakai dalam makna-makna kiasan merujuk kepada pemuka dan barisan hadapan misalnya apabila disebut هُوَ نَاصِيَةُ قَوْمِهِ ia bermaksud beliau adalah ketua yang mewakili kaumnya.
Namun istilah nāṣiyah tersebut mendatangkan makna utamanya iaitu bahagian di mana bermulanya tumbuh rambut di dahi, yakni puncak kepala. Saya sendiri kurang pasti semasa menggunakan istilah ubun-ubun kerana ia adalah bahagian berkenaan untuk bayi, bukan kepada orang dewasa. Apabila bahagian itu yang Allah nyatakan sebagai sang pendusta juga pesalah, ilmuan kelihatannya ramai yang merumuskan bahawa istilah nāṣiyah di sini berkemungkinan adalah makna kiasan dan bukan makna hakiki.
Malah selain nāṣiyah itu berdusta (كَاذِبَة) Allah juga menggunakan istilah bersalah yakni خَاطِئَة dan bukannya مُخْطِئَة. Istilah مُخْطِئَة digunakan apabila seseorang itu melakukan kesalahan tanpa niat. Sedangkan خَاطِئَة itu hanya digunakan ke atas seseorang yang melakukan kesalahan dengan niat, dengan sengaja, sebagai pilihan.
Pemahaman terhadap istilah nāṣiyah berkenaan, dengan mengambil manfaat sains moden hari ini, menjadi satu pembuktian kebesaran Allah, kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad ﷺ yang agung.
Hari ini kita mengetahui melalui sains moden bahawa bahagian otak manusia mempunyai daerah-daerah induk yang setiap satunya mempunyai peranan tersendiri. Bahagian paling berkait rapat dengan perbincangan kita ini adalah merujuk kepada bahagian hadapan otak yang dikenali sebagai frontal lobe, terutamanya sub kepada frontal lobe berkenaan iaitu prefontal cortex (PFC).
Abu Jahal merancang untuk menganiaya Nabi Muhammad ﷺ , mendustakan Allah, walaupun lidah yang menuturkannya, dan kaki yang melangkah ke arah melakukannya, Allah memfokuskan hukuman dan ancaman ke puncak kepala Abu Jahal, tempat lahirnya pilihan-pilihan keji berkenaan.
Sebab itu, kondisi seperti ADHD adalah serius. Kelewatan tumbesaran frontal lobe dan defisit kimia otak seperti dopamine boleh mengakibatkan manusia mudah terjerumus ke lembah kejahatan dan kemudaratan.
Dengan memahami nāṣiyah sebagai lokasi frontal lobe dan prefrontal cortex, saya ingin selalu membaca doa ini:
https://sunnah.com/hisn:120
Kata Rasulullah ﷺ , “ tidaklah seseorang membaca doa ini melainkan Allah akan hilangkan daripadanya kebimbangannya, dan menggantikan ia dengan kegembiraan”
Walaupun perbincangan mengenai kesihatan mental semakin baik kebelakangan ini, reaksi daripada kita umat Islam masih tidak begitu menggalakkan. Sebahagian menganggap ia sebagai simptom kelemahan iman. Manakala sebahagian lain pula menafikan peranan intervensi sama ada dalam bentuk terapi mahu pun perubatan. Isu kesihatan mental dianggap sesetengah sebagai rekaan 'Barat'. Islam telah menyediakan dasar yang amat kukuh untuk menggarap isu kesihatan mental secara positif, saintifik dan Rabbani.
Manusia, pancainderanya, apa yang dialami, adalah sebahagian daripada hakikat kejadian manusia yang dicipta oleh Penciptanya (al-Nisa' 4:28).
Apabila kelemahan itu merupakan ciri semulajadi manusia yang Allah jadikan, maka ia menjadi premis penting untuk kita melihat penyakit, gangguan dan komorbiditi bukan sebagai bala, sial, karma atau hukuman, sebaliknya hadir dengan hikmah. Musibah hadir UNTUK kita, bukannya perkara negatif ke atas diri kita (al-Taubah 9:51).
Emosi yang bersangatan hingga ke peringkat menjejaskan fizikal adalah sesuatu yang boleh dialami oleh manusia, termasuk para Rasul yang ulul azmi. Perhatikan apa yang terjadi kepada Nabi Ya'qub alayhi al-salam tatkala menanggung kesedihan yang kronik dan mendalam akibat berita sedih yang menimpa anakanda baginda, Yusuf alayhi al-salam (Yusuf 12:84). Kalaulah kesedihan hingga mata menjadi putih hilang penglihatan itu langsung sahaja dianggap dosa dan mazmumah, mana mungkin ia disandarkan kepada Yaaqub, seorang Rasul, yang maksum?
Penentangan terhadap dakwah dan caci nista yang dituju kepada Baginda Nabi Muhammad ﷺ juga jangan kita sewenang-wenangnya menganggap ia perkara biasa hingga terlupa menyelami apa emosi Baginda akibat hal berkenaan. Allah mengingatkan:
فَلَعَلَّكَ بَـٰخِعٌۭ نَّفْسَكَ عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ أَسَفًا
Maka janganlah pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini. (al-Kahf 18:6). Pesanan yang sama juga ada disebut di (Fatir 35:8).
Baginda Rasulullah ﷺ juga mengajar kita strategi menguruskan kemarahan seperti mengawal marah semasa berpuasa, mengubah posisi antara duduk, berdiri dan berbaring serta mengambil wudhu'.
Selain baginda sendiri, para sahabat juga ingat mengingatkan sesama mereka andai ada yang tersilap membuat pilihan, seperti nasihat Salman kepada Abu Darda' radiyallahu anhuma apabila beliau melakukan ibadah melampaui kesejahteraan dirinya. Lihat Riyad as-Salihin 149 https://sunnah.com/riyadussalihin:149.
Tidak terhenti setakat strategi demikian, Aisyah radhiyallahu 'anha yang mahir tentang ramuan ubat-ubatan, menyediakan ramuan Talbinah yang dituang ke atas Tharid. Beliau memberinya kepada seorang wanita yang sangat berdukacita dengan kematian ahli keluarganya dan kata Aisyah:
فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : التَّلْبِينَةُ مَجَمَّةٌ لِفُؤَادِ الْمَرِيضِ، تَذْهَبُ بِبَعْضِ الْحُزْنِ
Aku mendengar Rasulullah ﷺ berpesan bahawa talbinah menenangkan hati orang yang sakit dan menghilang sebahagian kesedihan yang dialami. (Sahih al-Bukhari 5417)
Semoga kita lebih positif pada menguruskan isu kesihatan mental dan emosi kerana ia adalah sebahagian daripada hakikat kita yang Allah cipta, sebagaimana suluhan al-Quran, al-Sunnah dan dikemaskan oleh penyelidikan saintifik masa kini, amin.
Usia belasan tahun adalah usia anak-anak belajar dan mengembangkan identiti diri serta hubungkaitnya dengan peranan mereka dalam kehidupan. Itu kata Erik Erikson di dalam teori psikososial yang terkenal itu.
Peringkat umur ini menjadikan remaja memberi fokus besar kepada dirinya, imej, serta bagaimana dia dilihat dan diungkap oleh kawan-kawan. Sudah tentu, ia menjadikan seseorang 'obses' dengan dirinya sendiri.
Tetapi apabila ia jadi tidak seimbang, fokus kepada diri yang asalnya berguna untuk membentuk identiti diri berubah menjadi krisis keyakinan diri. Keterlaluan dalam memikirkan rupa paras. Masih di bangku persekolahan tetapi mahu membina otot dengan kad keahlian gym, minum minuman protein dan menggunakan barangan kosmetik berjenama.
Malangnya, tetapi tidak gembira, sukar bahagia dan menikmati kepuasan hidup.
Mungkinkah obsesi dengan diri sendiri, menyebabkan remaja terperangkap di dalam paradigma menerima, menjauhkan mereka daripada dimensi memberi.
Nak lagi, nak lagi, tetapi tidak puas kerana hidup tetap kekurangan makna.
Makna lahir daripada perbuatan memberi.
Walaupun mungkin diejek rakan segenerasinya, Greta Thunberg mungkin berasa lebih puas dengan hidupnya, berbanding remaja yang obses dengan diri sendiri.
اللَّهُمَّ كَمَا أَحْسَنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي. رَوَاهُ أَحْمَدُ، وَصَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ
Daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah ﷺ telah bersabda:
Ya Allah Engkau telah memperelokkan kejadian (rupa paras)ku, maka Kau perelokkanlah akhlakku.
Apabila setiap hari masyarakat kita melompat dari satu isu ke satu isu, resah ke satu resah, berehatlah.
Berhenti sekejap.
Malah tidur.
Seperti tidurnya Ashab al-Kahf selepas berdoa memohon Rahmat Ilahi.
Kerehatan dan tidur yang sebenarnya rahmat Allah.
Ketika melawan, menjawab, berdebat dan 'berjuang' (sebagai sangkaan) itu menjauhkan kita daripada Tuhan.
Berehatlah sekejap.
Sesungguhnya syaitan itu tidak berehat.
Daripada Ibnu Abbas daripada Nabi ﷺ . Baginda bersabda :
قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ
Maksudnya :” Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan itu tidak berehat.”
Hadith riwayat al-Tabarani (28) di dalam al-Mu’jam al-Awsat
Doktor berpesan kepada saya, bahawa walaupun kita mahu dunia lebih memahami tentang ADHD dan isu-isu daerah neurodiversiti yang lain, kita tidak boleh memaksanya. Gunakanlah diagnosis untuk kegunaan diri sendiri pada menentukan apakah rawatan yang sesuai serta strategi yang boleh dibuat untuk meningkatkan fungsi seharian kita.
Apabila perubahan positif berlaku, biarkanlah perubahan itu yang berbicara. Mudah-mudahan ia lebih berkesan untuk mengundang penerimaan.
Sebabnya, ADHD ini sendiri terutamanya ADHD dewasa, tidak berada di dalam domain knowledge masyarakat termasuk para doktor sendiri. Kecuali mereka secara spesifik mengambil tahu, mengemas kini dan merujuk penyelidikan terkini mengenainya. Maka kita bolehlah menghargai kepayahan memenuhi keinginan melihat dunia sekeliling kita faham.
Namun advokasi perlu diteruskan.
Saya juga terus berkongsi. Tetapi perkongsian saya bukan perkongsian pakar. Saya tidak akan membuat diagnosis ke atas sesiapa atau mengusulkannya kerana ia bukan bidang saya.
Mempunyai ADHD tidak menjadikan saya pakar ADHD. Mendakwa diri pakar kerana saya seorang ADHD hanya menyebabkan sains dan ilmu pengetahuan mengenainya jatuh di mata masyarakat. Saya mahu perkongsian saya meningkatkan kefahaman, empati dan menghalakan sahabat kepada pakar untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Kita sama-sama tahu jalannya payah.
Balik ke rumah selepas pertemuan dengan doktor, saya dapati hardcopy majalah Additude yang saya langgan telah tiba. Saya dinasihatkan oleh rakan yang juga seorang psikiatris agar memanfaatkan majalah ini, dan membacanya semenjak 2016. Selepas menerima diagnosis rasmi, saya ingin menghargai usaha majalah Additude ini, antaranya adalah dengan melanggan. Saya langgan juga hardcopy supaya ahli keluarga dan rakan yang berkunjung ke rumah kami, boleh membacanya.
Sahabat boleh membaca majalah berkenaan di https://www.additudemag.com/ walaupun tanpa melanggannya.
Semoga serba sedikit perkongsian saya ini bermanfaat untuk kalian.
Selamat menyempurnakan ibadah di separuh kedua bulan Ramadan kita tahun ini.
Hasrizal Abdul Jamil
From the publisher's feed

195 Listeners