Hasrizal

Hasrizal

By Hasrizal Abdul JamilSociety & CulturePersonal Journals
Download on the App Store

Hasrizal episodes

  • ADHD: Menghargai Kejadian Otak Dan Fungsi Akal
    Semenjak sekian lama saya sentiasa teruja dengan kehebatan otak dan fungsi akal. Oleh kerana saya bukan daripada bidang sains, bidang agamalah medan saya meneroka keterujaan ini. Suka dengan pembelajaran yang membabitkan diskusi, debat, bertukar pendapat, kerana saya dapat rasa yang otak saya bekerja semasa belajar sebegini. Pembelajaran secara hafalan dan pengulangan (rote learning) agak berat untuk saya, tanpa mengetahui ADHD merupakan latar belakangnya.
    Selepas memulakan pembelajaran di bidang sains pembelajaran di Oulu Finland, saya berkenalan dengan psikologi kognitif yang diguna dalam pengajian kami. Di situlah saya berkenalan dengan isu-isu executive function, regulasi emosi dan macam-macam lagi, terutamanya semasa belajar subjek Self-Regulated Learning (SRL). Ironinya, ketika itu jugalah saya ditimpa kondisi paling berat dalam pengalaman belajar dan diusul diagnosis ADHD dewasa. Demi memahami masalah sendiri (sementera belum berpeluang melakukan assessment formal), saya membaca kajian-kajian khusus berkenaan masalah executive function dan regulasi emosi serta kaitannya dengan ADHD. Ia membuka kefahaman saya pada menghargai betapa kompleks cara otak bekerja, dan menjadikan diri lebih cermat semasa melihat perangai-perangai seseorang yang kita tidak berkenan.
    Ada keadaannya, ia bukan masalah ingkah laku semata. Sebaliknya ia ada kaitan dengan kondisi fizikal otak seseorang itu, misalnya defisit dalam penghasilan serta penyebaran kimia-kimia yang otak hasilkan, seperti dopamine dan rakan-rakannya.
    Saya terima diagnosis ADHD ini bahawa ia ujian daripada Allah yang sayalah penentu sama ada ia musibah atau manfaat. Saya yakin ADHD itu walaupun menjadi penjelasan kepada banyak kerumitan hidup yang saya alami, ia jugalah yang berperanan mencorakkan saya menjadi siapa saya yang sahabat kenal dalam penulisan, percakapan dan pertemuan.
    Alhamdulillah.
    11 min
  • Nasihat Imam Ghazali Apabila Silibus Tinggi Sangat
    Perbincangan nasihat keenam Imam Ghazali rahimahullah kepada para guru di dalam kitab Ihya’ ā€˜Ulum al-Din. Ia berkaitan dengan bahana kandungan pelajaran terlampau tinggi, mengatasi keupayaan murid untuk memahaminya. Nasihat ini disampaikan pada abad ke-12 ini amat relevan untuk menyuntik kesedaran serta kesungguhan kita menyelesaikan masalah pendidikan abad ke-21 yang sedang kita alami. Malaysia adalah antara negara tertinggi di dunia yang mempunyai subjek dan kandungan pelajaran di kalangan murid tahun satu di sekolah. Ini bukan bukti kemajuan, sebaliknya berisiko menjadi ancaman larinya fokus sebenar. Di usia berkenaan, murid perlu dibantu untuk mengukuhkan kemahiran literasi dan numerasi (membaca, menulis, mengira) dan bukannya belajar macam-macam, banyak-banyak.
    Bagaimanakah Imam Ghazali mengupas hal ini?
    Ayuh kita tinjau bersama-sama.
    Teks Kitab Ihya’ yang dibincangkan ini ada disertakan di halaman Youtube dan FB My Learning Journey saya.
    54 min
  • ADHD dan Faktor Genetik
    PLAYLIST VLOG ADHD: https://adhd.hasrizal.com
    Mengambil kira genetik sebagai faktor penting di sebalik ADHD seseorang, mengetahui akan hal ini boleh membantu kita meningkatkan kepekaan terhadap cabaran-cabaran yang wujud di dalam keluarga sendiri, serta saudara mara. Perkara ini boleh memainkan peranan yang besar untuk melawan stigma negatif yang menyebabkan ADHD diabaikan atau dipandang remeh. Ia bukan hanya berisiko menyebabkan seseorang mengalami kemerosotan kualiti hidup dari segi pelajaran dan pekerjaan, malah turun mengurangkan kadar jangka hayat secara signifikan akibat pelbagai masalah diri yang 'sistemik', dengan ADHD tersembunyi di belakang semua krisis hidup tersebut.
    14 min
  • Senario Ilmuan vs Penglipurlara (Qussas) Merentas Zaman
    Orang bercakap hal agama tetapi penuh dengan hadith palsu dan maklumat yang tidak masuk akal, tetapi disayangi masyarakat, bukan senario baharu. Zaman berzaman, masalah ini menguji kita. Ikhlas mencari kebenaran dan beriltizam dengan ilmu, adalah jalan yang perlu dipilih agar selamat menempuh fitnah besar ini.
    10 min
  • Cabaran Rejection Sensitive Dysphoria (RSD) di Dalam ADHD Dewasa
    Rejection Sensitive Dysphoria (RSD) adalah keadaan tidak selesa yang bersangatan seseorang alami semasa menghadapi penolakan atau kritikan. Ia keadan yang banyak ditemui di kalangan mereka yang didiagnosis dengan ADHD, sebagai satu daripada dimensi kegagalan fungsi emosi yang baik mereka. Saya kongsikan di dalam episod kali ini pengalaman saya menempuhnya, bagaimana ia terserlah di dalam penulisan dan komunikasi, dan mungkin sedikit sebanyak membantu anda memahami ADHD dengan lebih berempati.
    17 min
  • Kenangan Diupah Kerja Untuk Berfikir | Hari Pertama Rawatan ADHD Dewasa
    Terkenang pengalaman hampir 15 tahun yang lalu ketika saya dilamar oleh almarhum Prof Khazani untuk bekerja dengan beliau. Kerja saya ketika itu ialah berfikir. Saya disediakan ruang pejabat yang selesa untuk berfikir dan menghasilkan produktiviti yang bukan secara khusus untuk manfaat syarikatnya, tetapi untuk masyarakat. Semoga Allah merahmati almarhum Prof yang telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu. Hari ini juga saya memulakan rawatan ke atas ADHD dewasa dengan Concerta XL.
    9 min
  • Akhirnya Saya Menerima Diagnosis Klinikal ADHD Dewasa
    Jika anda pensyarah universiti, anda mungkin biasa berjumpa dengan pelajar yang tidak menyiapkan tugasan seperti yang sepatutnya. Mungkin ada yang memang malas, tidak bermotivasi dan tidak berminat untuk berjaya.
    Namun di celah-celah itu mungkin ada pelajar yang bermati-matian berusaha namun tetap gagal, kerana ada sesuatu pada dirinya yang hanya dapat dilihat dengan mata ilmu dan kasih sayang, bukan mata mengeji dan hukum.
    Bagi sahabat yang senasib, berusahalah untuk jangan self-diagnosed atau diagnose orang lain. Berusaha untuk mendapatkan bantuan profesional oleh pakar terlatih (dan ia mungkin membabitkan perbelanjaan yang tidak murah).
    Hanya selepas didiagnosis secara klinikal dan 'rasmi' oleh konsultan psikiatris, saya berani untuk menulis perkara ini. Mungkin diagnosis ini agak terlambat untuk membantu menyelamatkan saya daripada belenggu the 'unfinished business' selama 20 tahun ini, mudah-mudahan ia menjadikan kehidupan berbaki lebih bermakna dan baik untuk terus berperanan lagi berbakti.
    16 min
  • Politik Ulama dan Ulama Politik
    POLITIK ULAMA DAN ULAMA POLITIK
    Politics of Piety ini merupakan kajian yang sangat mendalam tentang hiruk pikuk politik sesama ulama (komuniti ilmiyye) Dawlah Uthmaniyyah, terutamanya pada abad ke-17. Kajian oleh Madeline Zilfi ini masih belum ada tandingannya dan terus menerus menjadi rujukan pihak yang mahu menyelidik tentang isu-isu yang berlegar di kalangan ulama Dawlah Uthmaniyyah ketika itu, sebagai kelompok yang sangat berpengaruh dalam politik negara.
    Misalnya, salah seorang tokoh penting dalam gerakan Kadızadeli iaitu Vani Mehmed Efendi. Di satu ketika, beliau telah mencemar reputasinya kerana berceramah membenarkan dirinya minum sedikit arak (khamar) dan mengharamkannya untuk orang ramai. Alasan beliau ialah, larangan al-Quran terhadap arak adalah untuk orang awam memandangkan orang awam mudah tersasar dan berlebih-lebihan. Ada pun golongan yang lebih kuat pegangan agamanya, seperti beliau, mampu menentukan kadar yang perlu sahaja untuk minum tanpa menjadi mabuk. Oleh kerana risiko mabuk itu sangat rendah, maka harus baginya meminum arak (mukasurat 188).
    Tindakan menyalahgunakan nas di kalangan agamawan ini berlaku dari semasa ke semasa. Ketaksuban kepada golongan ulama, mengkuduskan mereka, menyerang golongan yang mengkritik mereka secara kritis, adalah sikap yang salah serta membelakangkan sejarah.
    Kebelakangan ini, politik agamawan menjadi kudus. Sebahagian anak muda pula seperti sanggup mati untuk mempertahankan agamawan tarbiah mereka, menyerang sesiapa yang tidak membeli idea kudus itu. Dan dengan rujukan sejarah, kita bukan ahli nujum tetapi boleh menjangkakan ia menuju ke arah mana.
    7 min
  • Nasihat Keempat Imam Ghazali Kepada Guru: Tegur Berlapik

    Tanggungjawab keempat, yang mana ia merupakan sebahagian daripada cara kita berhalus di dalam seni mendidik iaitu: hendaklah seorang guru itu menghalang muridnya daripada kecelaan akhlak dengan pendekatan berlapik selagi boleh dan tidak secara berterus terang. Andai perlu berterus terang, lakukanlah ia dengan kasih sayang dan bukan secara menghina.

    Ini kerana, kaedah berterus terang itu menyingkap hijab maruah seseorang, merangsangnya untuk melawan dan melakukan apa yang berlawanan dengan nasihat, serta mendorong untuk terus berdegil dengan salah laku tersebut.

    Nabi sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:

    Seandainya orang ramai dilarang daripada mencicah tahi unta ke dalam bubur, nescaya itulah yang mereka lakukan dan mereka berkata tidaklah kita dilarang daripada melakukan hal ini melainkan padanya ada sesuatu! (Al-'Iraqi mengulas bahawa hadith ini lemah).

    Hal ini juga diperingatkan kepada dirimu melalui kisah Adam dan Hawa alayhima al-salam dan larangan Allah ke atas mereka berdua (Surah al-A'raf ayat 20-21). Dan kisah ini tidaklah dinyatakan kepadamu sekadar menjadi halwa telinga di waktu malam melainkan ia adalah supaya kamu beringat-ingat dengan iktibar daripadanya.

    Dan juga, pendekatan berlapik ini akan menggalakkan mereka yang luhur jiwanya dan bijak fikirannya untuk cenderung memikirkan mengenai nasihat tersebut hingga mereka beroleh kepuasan mendapat ilmu mengenainya, yang tidaklah hal berkenaan melangkaui upaya akal mereka untuk berfikir mengenainya.

    Wallahu a'lam.

    57 min
  • Dilarang Mengikuti Ceramah Hasrizal

    Sekitar tahun 2011, bermula era saya berhadapan dengan mahasiswa dan mahasiswi menerima larangan mengikuti ceramah saya, atau jika menjadi AJK maka tidak dibenarkan menjemput saya sebagai penceramah. Larangan itu tidak praktikal di era maklumat berada di hujung jari tanpa sempadan. Malah larangan seumpama itu turut pernah dibuat oleh kaum musyrikin Mekah ke atas Tufail ibn ā€˜Amr r.a. yang diberi nasihat agar tidak mendekati seorang lelaki bernama Muhammad kerana beliau berbahaya.

    Larangan itu tidak berkesan kerana Tufail ibn ā€˜Amr orang pintar. Beliau tahu membezakan mana ahli sihir dan mana bukan ahli sihir, siapa gila dan siapa siuman.

    Pemikiran yang sama turut mengundang ramai Irish datang ke masjid untuk bersoal jawab tentang Islam tanpa rasa takut walaupun media ghairah memburuk-burukkan agama ini setiap masa. Orang berpendidikan dan berakal, boleh membuat pendirian sendiri, tanpa perlu ditekan-tekan mana yang boleh dibaca mana yang tidak, mana yang boleh didengar, mana yang perlu disekat.

    Di kala itu, apabila mahasiswa menyorok-nyorok berjumpa dengan saya secara senyap kerana bimbang dimarah oleh pihak atasan, saya menegur kebimbangan mereka. Tiada siapa boleh marah-marah kita kecuali kita yang mengizinkan diri kita ditekan dan dimarah. Semasa saya di usia mereka, jika penceramah merepek, saya tidak akan biarkan sahaja mereka terlepas. Saya akan tanya dan pertikai.

    Apabila khalayak mendiamkan diri, di situlah bermulanya keberanian penceramah merepek-repek tanpa khuatir disanggah kemerepekan mereka.

    Sehinggalah sampai ke era, tiada siapa lagi yang melarang sesiapa mendengar apa. Sebaliknya dalam kebebasan mendengar, pendengar sendiri hilang keinginan mendengar kerana lebih selesa mendengar apa yang mereka mahu, bukan lagi apa yang mereka perlu.

    Penceramah merepek makin merepek. Pengisian yang sifatnya mencabar status quo sukar mencapai objektif kerana pengisian yang diutamakan adalah yang menghiburkan, memberi kegembiraan dan memenuhi keinginan kita sendiri.

    Jalan menyingkap kebaikan di era kebaikan diselaputi asap seperti kata Nabi sallallāh ā€˜alayhi wa sallam kepada Huzaifah r.a. tidak lagi ramai yang ingin menempuhnya kerana ia jalan yang tidak selesa lagi memerlukan kesabaran dan kecekalan.

    Justeru, secara peribadi, terima kasih saya ucapkan kepada setiap kalian yang sudi mendengar, menonton, membaca, dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang saya kongsi selama ini. Kesudian itu mampu melawan tembok sekatan dan larangan. Paling utama, ia menjadikan kalian bersabar lagi pemaaf terhadap kekurangan saya dalam penyampaian.

    Hasrizal

    Naas, Ireland

    8 min

About Hasrizal

From the publisher's feed

PODCAST.HASRIZAL.COM

More shows like Hasrizal

The Thinking Muslim by Muhammad Jalal

The Thinking Muslim

195 Listeners