
Sign up to save your podcasts
Or


Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu ada yang lelaki dan ada yang perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu,. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." [Al-Hujurat 49:13]
Ayat ke-13 di dalam Surah al-Hujurat, memainkan peranan baharu yang belum kelihatan peranan itu di zaman sebelum ini. Ia lazim menjadi rujukan untuk menjelaskan sisi positif hakikat kehidupan manusia yang berbagai budaya. Bahawa perbezaan bukan punca masalah, sebaliknya sumber kekayaan tamadun manusia. Syaratnya, perbezaan itu difahami dan pendekatan kita adalah pada saling kenal mengenal.
Tetapi perbezaan yang wujud dalam realiti manusia di dalam ayat berkenaan bukan hanya tentang kelainan bangsa, budaya dan bahasa, malah satu lagi perbezaan yang mendahuluinya adalah perbezaan jantina. Manusia itu ada yang lelaki, ada yang perempuan. Sama seperti soal budaya, jantina juga adalah perbezaan yang Tuhan sengajakan.
Pencipta kita boleh sahaja menjadikan kita lain daripada realiti itu. Tetapi Pencipta kita kata: "sesungguhnya Kamilah yang menciptakan kamu itu, ada yang lelaki, ada yang perempuan" kemudian barulah disusuli dengan: "dan kami jadikan kamu itu berbangsa-bangsa lagi bersuku kaum"
Ia bukan hakikat yang relevan hanya untuk Muslim. Ia adalah hakikat yang universal.
Pencipta kita memulakan ayat berkenaan dengan seruan "wahai sekalian manusia" dan bukannnya "wahai orang-orang yang beriman".
Sama ada kamu percaya kepada Tuhan yang mencipta kamu itu atau tidak, ia tidak mengubah hakikat ini, bahawa jantina individu itu ada lelaki, ada perempuan, dan sosial manusia pula berbangsa-bangsa.
Selepas ilmu agama, kemudian hard science dan soft science diketepikan di zaman kebenaran ditentukan oleh hawa nafsu kemahuan sendiri, Allah menutup ayat berkenaan dengan deklarasi:
"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."
Dunia jadi kucar kacir di dalam perkara selurus ini, apabila persoalan paling awal sudah tidak lagi dipedulikan iaitu, siapa kita, siapa yang buat kita, dan apa tujuan kita dicipta dan wujud di dunia ini.
Ulasan Buku The Boy Crisis - oleh Dr Warren Farrell, PhD
Di dalam siri buku Aku Terima Nikahnya (2008-2010) dahulu, saya ada nukilkan kebimbangkan tentang sukarnya budak lelaki untuk berjaya menjadi lelaki, dan budak perempuan berjaya menjadi perempuan. Ia ekoran perubahan pendidikan, norma masyarakat, kekeluargaan dan cara hidup manusia pada masa tersebut.
Keadaannya menjadi semakin parah pada tahun 2022 ini.
Kecacatan dalam dinamik keluarga, kepincangan pendidikan di sekolah, biar pun meletakkan risiko besar kepada semua kanak-kanak, ia lebih berat kepada memangsakan budak lelaki. Bagaimana? Saya cuba ungkaikan sedikit demi sedikit melalui perkongsian kali ini dan di dalam siri seterusnya Insya-Allah.
📌
Support my work
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Meneladani kisah Ibrahim 'alayhi al-salam di dalam surah al-Saffat ayat 102 di dalam Khutbah Aidiladha oleh Sheikh Hussain Halawa, Imam Islamic Cultural Centre Ireland (Masjid Clonskeagh), Dublin, pada pagi Sabtu, 9 Julai 2022 yang lalu.
Semasa Ibrahim a.s. diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s, baginda memperlihatkan sebuah teladan besar sebagai seorang bapa. Biar pun perintah itu daripada Allah, dan baginda akan melakukannya, Ibrahim tetap menyediakan peluang untuk anaknya Ismail menyuarakan pendapat.
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?".
Saya meneladani hal ini semenjak anak-anak masih kecil. Ingin menjadi seperti Ibrahim 'alayhi al-salam. Menyantuni anak, memberi ruang mereka bersuara dan berpendapat. Kita mendengar pandangan anak-anak, bukan untuk mengiyakan semuanya. Itu bukan pendekatan yang betul sebagai seorang bapa.
Anak-anak belum matang, frontal lobe mereka belum siap. Ada banyak blind spot dalam pandangan mereka tentang kehidupan. Mengikut sepenuhnya kehendak anak-anak hanya akan membinasakan diri mereka sendiri.
Kita mendengar pandangan anak atas hakikat yang sama, bahawa anak-anak memerlukan bimbingan kita. Sebelum kita membimbing dan memberi nasihat, kita perlu terlebih dahulu memahami apa yang berlegar di fikiran dan perasaan mereka. "Seek first to understand, then to be understood" bak kata Stephen Covey.
Ibrahim sebagai Khalilullah, telah melakukan jauh lebih awal di dalam sejarah. Melakukannya dengan iman dan ketaatan di tahap tertinggi.
Justeru baik benar untuk kita sebagai bapa, setelah mendengar saranan Covey itu, mengingati sirah yang mulia oleh Abu al-Anbiya', bahawa mendengar pandangan anak-anak bukan kerana Covey, tetapi kita ada sebab yang lebih tinggi dan mulia. Meneladani seorang Nabi.
Banyak dialog saya dengan anak-anak, saya rakamkan di dalam buku Aku Terima Nikahnya (2008-2010). Saya tahu saya bukan Ibrahim. Jauh sangat. Tetapi teladan yang ini saya komited melakukannya.
Apa yang menyentuh hati saya, ialah apabila Sheikh Hussain Halawa membaca bahagian kedua ayat berkenaan. Jawapan Ismail:
ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Anaknya menjawab: "Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
Indahnya jawapan Ismail.
Saya belum dapat menikmatinya.
Saya masih dalam perjalanan mendidik anak-anak.
Semasa memandu dari rumah ke masjid, saya menegur anak-anak yang sedang berbual tentang sekolah mereka. Saya tidak setuju dengan pendapat anak-anak yang menolak mengambil subjek tertentu semata-mata kerana tidak suka. Cuba mengingatkan mereka bahawa kami berhijrah ke Finland dan Ireland bukan untuk main-main. Kena berusaha bersungguh-sungguh.
Anak kami berkata "bolehkah jika kita tidak bercakap mengenai hal ini? Sekarang awal pagi, hari raya, dan kerana buka tajuk ini, kami dalam bad mood."
Air mata saya bercucuran semasa khutbah, mengenangkan dialog kami di dalam kereta.
Saya cuba positifkan fikiran bahawa jalan masih panjang, usaha masih perlu dibanyakkan dan diperbaiki. Termasuk memperbaiki diri sendiri. Kerana saya bukan Ibrahim.
Saya teringat aduan Yaaqub 'alayhi al-salam kepada Allah.
Bahawa kita para bapa harus berdamai dengan IKHTIAR, bukan HASIL. Selain ikhtiar, bertawakkallah kepada Allah dan mengadu kepada-Nya.
Kita boleh meneladani Ibrahim.
Namun tiada jaminan untuk mendapat Ismail.
Ulasan dokumentari dan buku Matt Walsh dengan tajuk "What is a Woman"
Support my work
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Selepas pulang ke tanahair pada tahun 2004, saya direzekikan oleh Allah Ta'ala untuk melintasi demografi Muslim dan Melayu di Kuala Lumpur yang berwarna warni.
Antara segmen yang memberi pengalaman dakwah baharu kepada saya adalah komuniti Melayu Muslim yang berbahasa Inggeris.
Engagement saya dengan segmen ini juga membuka ruang diskusi tentang masalah-masalah yang banyak mereka hadapi, terutamanya pada cabaran memindahkan kesedaran Islam ibu bapa kepada anak-anak. Reaksi kepada cabaran inilah, beberapa program diusahakan, dan disusuli dengan artikel-artikel saya di era itu mengenai isu ini.
Antaranya ialah artikel tahun 2006:
Aku Salafi, Anak Muridku Bagaimana? https://saifulislam.com/2006/06/aku-s...
Aku Salafi, Anakku Bagaimana? https://saifulislam.com/2006/06/aku-s...
Jika pendirian saya yang tidak A dan tidak B menyebabkan saya dianggap sebagai orang jahil, bukan ustaz apatah lagi ulama dan tidak harus dirujuk, saya berbesar hati menerima pandangan sedemikian.
Semenjak awal, tujuan saya belajar agama, adalah untuk saya faham agama saya sendiri.
Saya kongsikan ia kepada mereka di sekeliling saya, semata-mata agar kita sama-sama mendapat redha Allah. Mana yang salah, betulkan. Mana yang betul, pujian kita pulangkan semuanya kepada Allah.
Wallahu A'lam
Support my work
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Tokoh yang sudah mati tetap sudah mati. Kita peduli dengan mereka adalah demi mengambil teladan daripadanya untuk kehidupan hari ini. Kita tidak seharusnya mencakar dan merobek si mati, seolah-olah si mati yang telah mati, tetap mahu dibunuh dan dimatikan lagi, berkali-kali.
وما فات فات ومن مات مات
“Apa yang telah pergi, telah pergi. Siapa yang telah mati, telah mati!”
Kita sanggup bermati-mati, untuk membuat keputusan terhadap si mati, seolah-olah kita mahu mengambil alih kuasa Tuhan, menentukan nasib si mati di alam kedua.
Kita belajar daripada sejarah, catatan hidup generasi yang sudah mati, kerana mahu mencari teladan dan panduan bagi yang hidup. Atas dasar itu, saya sentiasa mengingatkan diri, supaya jangan celupar mengkritik generasi yang telah pergi. Yang baik pada si fulan, saya ambil jadi panduan, yang kurang dan cacat cela, saya pulangkan ia kepada Tuhannya yang juga Tuhan saya. Nasib mereka sudah pasti. Cela kita terhadap mereka tidak menambah hukuman derita. Puji kita tidak mengangkat mereka ke darjat mulia. Kita puji atau kita cela, mereka sudah melengkapkan sirah hidup mereka, dan kepada Allah jua kembali segala ketentuan.
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu” [Al-Hashr 59:10]
Tidak menjadi lebih mulia seorang abid sufi yang mencaci saudaranya dengan label Wahabi. Tidak menjadi lebih sejahtera seorang abid salafi yang mencaci saudaranya dengan label bid’ah, Mazhabi dan Hizbi. Yang mencela Imam Syafie bukan kerana dia Wahabi.
Yang mencela Muhammad bin Abdul Wahhab bukan kerana dia Syafie atau Sufi. Pencela itu adalah pesakit yang berpenyakit lisan.Yang ilmunya tidak dapat menjinakkan perkataan. Yang perkataannya meliarkan umat Islam. Hawa nafsunya puas pada mencelah sirah si mati.
Daripada Abi Umamah radhiyallahu anhu, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:
“Tidaklah sesat sesuatu kaum itu setelah mereka mendapat petunjuk dan mengamalkannya, melainkan dengan kaum itu gemar berdebat berbantah-bantah”
Lalu baginda sallallahu alayhi wa sallam membacakan firman Allah:
مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ
Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan. [Al-Zukhruf 43: 58]
Baru-baru ini, sahabat di tanahair memberitahu bahawa Prof Dr Basri Ibrahim al-Azhari hafizahullah ada menulis buku baharu beliau bertajuk Label dan Pelabelan Wahabi.
Menariknya, di dalam bab keempat, ada satu topik berbunyi "Pelabelan Berfahaman Wahabi Terhadap Ustaz Hasrizal Abdul Jamil". Selalunya seseorang itu dibincangkan mengenainya selepas beliau meninggal dunia. Tetapi Allah izinkan saya untuk meneliti hal sebegini semasa masih hidup. Cuma telah meninggal juga, iaitu meninggalkan Malaysia.
Saya bukan people pleaser.
Golongan yang memfitnah dan melabel saya (dan berpuluh-puluh yang lain di senarai media sosial itu) dengan tuduhan sebegini bukanlah sepenuhnya orang asing yang tidak mengenali saya secara peribadi. Sebahagian pelopornya adalah sahabat dan kenalan sendiri, sepengajian, yang menempuh susur galur proses menuntut ilmu bersama-sama. Malang buat umat Islam yang berilmu, setelah belajar tinggi, berguru, berkitab, sujud meletak muka di tanah dan berikrar Allah Maha Besar pun, tetapi seperti tiada takut kepada Allah.
Sedangkan ada pelbagai isu kompleks di belakang label Wahabi ini.
Selain fakta berbalas fakta dan kupasan membidas kupasan, kita juga perlu melihat jurang semantik yang wujud antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu dan Inggeris, pada mengungkap dan menghuraikan konsep-konsep kontroversi seputar istilah Wahabi itu.
Isu ini juga rumit kerana jawapan yang benar sering diminta menggunakan soalan yang salah.
Saya sudah pun beberapa kali menulis mengenai hal ini di dalam buku-buku terdahulu. Antaranya:
Terima kasih Prof. Dr. Basri Ibrahim Al-Azhari kerana mengulas mengenai hal ini.
Penyakit 'ain itu benar.
Walaupun foto dan lukisan hari ini bukan lagi berkonotasi sembahan yang menjurus kepada syirik seperti suatu ketika dahulu, malah menjadi bahan kegunaan harian (pengenalan diri dan sebagainya), ia tetapi mempunyai impak kepada emosi primitif setiap manusia. Sama ada dengan melihatnya kita takjub dan menyukainya, atau cemburu dan hasad terhadapnya. Kedua-duanya mengundang risiko menambah sumber penyakit 'ain.
Pada kefahaman saya, bukanlah pandangan itu sendiri yang menyebabkan mudarat. Sebaliknya pandangan yang bergelora pada rasa takjub atau cemburu itu mencetus syaitan untuk menyakit subjek yang dirujuk. Oleh kerana ia kerja syaitan, sudah tentu ia tidak terjadi kecuali dengan izin Allah. Tetapi risikonya berat, dan kerana itu baginda Rasulullah ﷺ memberi peringatakan.
Bayangkan, Amir ibn Rabi'ah yang melawat Sahl ibn Hunaif, tidak berniat buruk semasa memuji kulit beliau yang cantik. Tetapi pujian itu disusuli dengan kejadian Sahl jatuh sakit. Apabila hal beliau diadukan kepada Nabi Muhammad ﷺ , baginda bertanya apakah ada sesiapa yang disyaki menjadi sebab di sebalik kejadian. Mereka memberitahu baginda tentang pujian Amir ibn Rabi'ah tempoh hari. Lantas baginda berkata:
عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ
"Kenapa salah seorang daripada kalian membunuh saudaranya?!"
Bayangkan.
Satu pujian Amir kepada kulit Sahl, baginda mengungkapkan perbuatan itu sebagai seumpama membunuh saudara sendiri. Bukankah hari ini kita sudah begitu normal bercakap tentang rupa paras; badan slim tak slim, jaw line, hidung, mata, kulit, di media sosial? Berapa kali sehari kita 'membunuh'? Tidak hairanlah kita resah gelisah dan ditimpa macam-macam musibah, malah berkolerasi dengan peningkatan penyakit mental dan jiwa.
Nutrisi lebih baik, kualiti hidup lebih baik, tetapi susah benar untuk bahagia dan sejahtera. Kata Rasulullah ﷺ lanjutan kisah Amir dan Sahl itu tadi:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ
"... jika sesiapa di kalangan kamu melihat sesuatu pada saudaranya dengan rasa takjub, hendaklah berdoa untuknya keberkatan daripada Allah!" [HR Ibn Majah (2828) dan al-Nasa’i (10036)]
Lalu baginda mengarahkan agar Amir berwudhu'. Beliau membasuh muka, kedua tangan hingga ke paras siku, dua lutut dan bahagian dalam kainnya. Nabi ﷺ mengarahkan air wudhu' itu disiram kepada Sahl dari arah belakang.
Semua yang cantik, yang baik, yang indah, daripada Allah.
Jangan lupa Allah.
Apabila kita lupa Allah, kita terperosok di dalam perangkap nafsu sendiri, dan syaitan mengiringi.
Bagi yang melihat, gigitlah lidah dan jari jemari daripada bercakap atau menulis tentang fizikal atau harta milik orang. Doa dalam diam keberkatan daripada Allah untuknya. Manakala bagi yang memiliki dan dipandang diri, bersederhanalah dalam memposisikan diri di hadapan khalayak di era kita hidup dikelilingi kamera, cermin, skrin, yang semuanya menambah risiko.
Kita juga semakin jarang mencetak foto. Semuanya digital sahaja. Tetapi sekali sekala kita cetak, ia mungkin untuk tujuan istimewa sebagai hiasan rumah. Sama ada kita sendiri atau orang lain, jika memandang foto-foto itu dengan perasaan yang membakar lagi bergelora, baik kerana teruja atau hasad dengki, kedua-duanya menjadi pandangan yang menghantar syaitan untuk menyakiti saudara dan ahli keluarga kita sendiri.
Tidak mengapalah ambil foto muka tak lengkap, atau comot sedikit.
Cantik dan kacak pun, akhirnya jadi tanah dan makanan ulat di kuburan juga.
Kembalikan fokus kita kepada apa yang utama.
Budi pekerti diri, akhlak, diri dalaman yang hakikatnya menjadi tempat jatuh pandangan Allah.
Apabila peguambela Amber Heard, Elaine Bredehoft muncul di dalam talk show mengkritik keputusan juri di dalam kes perbicaraan JD vs AH, ia memperlihatkan sisi yang bertambah rumit mengenai pergolakan ideologi di belakang kes ini. Lebih malang, mereka yang tidak mengikut rapat proses mahkamah selama hampir 7 minggu itu, berisiko terseleweng pemahamannya disebabkan oleh dakwaan-dakwaan palsu beliau:
Hos acara Ireland AM semasa menemubual Dave Neal, menolak keterangan Dave Neal bahawa wanita dan mangsa keganasan rumahtangga tidak harus takut teraniaya hanya kerana Amber Heard kalah kerana selama beberapa tahun Amber Heard telah dipercayai. Tetapi kepercayaan itu musnah akibat pembohongan beliau sendiri yang bertali arus. Kenyataan Dave Neal ini dikatakan 'rubbish' oleh Tommy, hos talk show Irish berkenaan. Kemudian beliau sendiri mengaku tidak mengikuti perbicaraan di US. Ia memalukan.
Sentimen di Ireland cenderung kepada toxic feminism kerana Ireland masih di dalam situasi reaktif terhadap tragedi penyelewengan gereja Katholik yang menyaksikan ramai wanita dan kanak-kanak dianiaya atas nama gereja dan agama. Malangnya ia banyak dilakukan oleh lelaki daripada institusi berkenaan.
Tragedi tersebut menyebabkan semakin ramai penduduk Ireland mendakwa diri mereka sebagai Atheist, meninggalkan bukan sahaja gereja Katholik, malah agama Kristian dan agama secara keseluruhannya.
Ia juga menjadikan Ireland begitu agresif dalam melindungi kaum wanitanya. Ia asasnya bagus malah perlu, tetapi mudah terjebak ke daerah toxic feminism.
Kita harus belajar daripada kejadian ini untuk memahami pergolakan ideologi yang berada di belakang naratif semua pihak yang memperkatakannya.
Pada masa yang sama, kita juga hendaklah mengelak daripada berlebih-lebihan mengidola atau membenci selebriti hingga terlupa bahawa mereka adalah manusia biasa, dan sebagai manusia, mereka perlu diberi peluang untuk dibela semasa dianiaya, sama seperti kita. Jangan diremehkan mereka hanya kerana mereka 'selebiriti'.
Semoga Allah memelihara kita semua daripada cabaran pemikiran dan moral di akhir zaman ini.
Hasrizal Abdul Jamil
From the publisher's feed

195 Listeners