dari jauh tujuh anak tangga
aku melihat mereka ketawa, berjenaka dan gembira
asyik bercerita tentang duka...
mereka dan semuanya
dari tujuh anak tangga dekatnya aku dengan mereka
aku cuba memahami getar suara
kata-kata di kota janji terlaksana
perihal pucuk-pucuk ranum dan bunga-bunga dosa
dosa; menjalar berbunga
dari rengek tangis tujuh anak tangga
akibat dihentak tapak-tapak kaki merah hitam
marah tiada mahu padam
aku memandang dari luar cuba memahami makna dalam-dalam
aku yang berada di dalam tetapi mengapa berasa jauh terkeluar
suatu macam perbezaan, beza yang menyatukan
dari seru suara tujuh anak tangga
dari gemuruh rasa mahu bercerita
aku nukilkan jua, akhirnya
ikhlas dari aku buat mereka